Selepas menerima reaksi pelbagai pihak sekaligus menghormati persepsi masyarakat, pihak penganjur ‘Konsert Goyang Adia Koplo Milenia’ memilih untuk melakukan penjenamaan semula kepada ‘Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur’, yang dilihat lebih universal.

Pengarah Projek Mission Sight Sdn. Bhd, Riezman Khuzaimi berkata, penjenamaan semula konsert yang dijadualkan pada 30 September depan dilihat mampu menangkis stigma segelintir pihak terhadap genre ditonjolkan.

“Belum pun bermula, konsert mega yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam telah menjadi sasaran kritikan mereka yang sentiasa memiliki persepsi negatif terhadap irama dangdut.

“Demi membuang persepsi masyarakat dan menghormati semua pihak, Konsert Goyang Asia Koplo Milenia telah dijenamakan semula kepada Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur.

“Pihak kami sedar apabila disebut dangdut koplo sudah pasti ada yang menyangka kemunculan barisan penyanyi nanti disertai tarian seksi, namun itu semua sekadar tanggapan,” katanya.

Riezman turut menambah, sebagai penganjur yang bertanggungjawab, setiap penyanyi terutama dari Indonesia iaitu Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-kelepek dan Rheyna Morena juga diingatkan tentang garis panduan persembahan.

“Sejak awal lagi mereka tiada masalah mengikuti ketetapan dan menghormati garis panduan bukan hanya pada persembahan, bahkan meliputi penampilan pada malam tersebut.

IKLAN

“Sebagai penggiat seni, Mission Sight lebih teruja menonjolkan seni di dalam muzik itu sendiri tanpa membawa elemen negatif sepertinya tanggapan pihak tertentu.

“Kami hanya menjual irama dan lagu, bukan unsur negatif tarian dan gelek lucah macam tuduhan dilemparkan ketika pengumuman konsert ini,” katanya lagi.

Goyang Asia Koplo Milenia Tukar Nama, Tawar Tiket ‘Harga Rahmah’ Hingga 50 Peratus!

Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur turut dimeriahkan kemunculan Ratu Dangdut Malaysia, Amelina dan Ani Maiyuni selain empat bintang dari Seberang itu.

IKLAN

Lebih menarik, penganjur memutuskan untuk melakukan penjualan tiket pada harga rahmah bersempena bulan kemerdekaan menerusi potongan diskaun sehingga 50 peratus.

“Ini adalah konsert pertama Mission Sight yang sebelum ini berpengalaman luas dalam penganjuran acara serta festival mega.

“Kami ingin berkongsi kemeriahan dengan membuka peluang kepada lebih ramai penggemar muzik menikmati genre dangdut, selain memberi potongan 50 peratus bersempena bulan kemerdekaan.

IKLAN

“Harga istimewa ini turut ditawarkan kerana kami merancang mengadakan konsert untuk malam ke dua dan jika terlaksana kemungkinan artis sensasi seperti Baby Shima dan beberapa artis lain dapat tampil.

“Lebih membanggakan, konsert ini juga mungkin akan mencatat sejarah dan diabadikan dalam Malaysia Book of Records, sekiranya tiket habis terjual,” katanya.

Malah, konsert tersebut juga bakal dimeriahkan dengan Festival Muzik Milenia selama tiga hari berturut-turut di perkarangan Stadium MBSA Shah Alam bermula 29 September hingga 1 Oktober 2023.

Antara pertandingan yang melibatkan lima negara Malaysia, Indonesia, Singapore, Brunei dan Thailand di festival itu adalah pencarian Raja dan Ratu Dangdut Asia, pertandingan tarian dan cabaran One Minutes Challenge.

Tiket mengikut zon sudah boleh didapati di laman sesawang ticket2u.com yang menawarkan harga terkini bermula dari RM240 (VIP Koplo), RM134 (Asyik), RM89 (Rindu) hingga ke zon berdiri (RM50).

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI