
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

Penyanyi pop terkenal dunia, Britney Spears, mengejutkan peminat apabila mengumumkan pendirian tegas untuk tidak lagi membuat sebarang persembahan pentas di Amerika Syarikat.
Walaupun begitu beliau memberi bayangan kemungkinan akan kembali beraksi namun di pentas peringkat antarabangsa pada masa hadapan.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Britney, 44, menyatakan keputusan tersebut dibuat atas alasan yang disifatkannya sebagai “sangat sensitif”, tanpa memperincikan secara lanjut punca sebenar.
Kenyataan itu jelas menandakan noktah kepada harapan peminat yang menantikan kemunculan semula beliau di pentas konsert Amerika Syarikat.
Dalam perkongsian sama, penyanyi lagu …Baby One More Time itu turut memuat naik momen peribadi bersama anak lelakinya yang sedang bermain piano.


Menariknya, Britney secara terbuka menyatakan keterujaannya terhadap idea untuk membuat persembahan bersama anaknya di luar negara, sekali gus mencetuskan spekulasi tentang kemungkinan konsert di United Kingdom dan Australia.
BACA JUGA: “Saya Tidak Akan Kembali Lagi Ke Industri Muzik,” – Britney Spears
Untuk rekod, kali terakhir Britney mengadakan jelajah konsert berskala besar menerusi Piece of Me Tour pada 2018. Sejak itu, beliau lebih banyak menyepi daripada dunia persembahan, terutamanya selepas melalui episod konservatorship yang berpanjangan dan memberi kesan mendalam terhadap kehidupan peribadi serta kerjayanya.
Sebelum ini, Britney pernah mengakui pengalaman silam tersebut meninggalkan trauma, sekali gus membuatkan beliau ragu-ragu untuk kembali ke pentas.
Pengumuman itu terus mengundang pelbagai reaksi peminat global, yang kini menaruh harapan untuk melihat ikon pop berkenaan kembali beraksi, meskipun hanya di pentas antarabangsa.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pempengaruh yang kini bergelar pelakon, Farihin Arnia tidak menyangka akan diberikan kepercayaan untuk menulis lagu sendiri berjudul Jatuh Bangun yang kini diangkat sebagai OST untuk siri terbaharu, Kelas Belakang.
Menurut Farihin, yang membawakan watak sebagai pelajar yang meminati muzik rap, pada awalnya dia hanya diminta untuk menuliskan beberapa rangkap lagu bagi dipaparkan dalam salah satu babak drama tersebut.
“Saya tak sangka sebenarnya lagu saya itu akan diangkat menjadi ost. Dalam drama ini, ada episod di mana watak Johan ada menulis lagunya sendiri.
“Saya diminta oleh pengarah untuk menulis sebuah lagu untuk babak tersebut. Bila saya perdengarkan lagu itu kepada pengarah, dia terkejut bila lagu itu agak panjang.
“Di dalam skrip, lagu itu pendek sahaja. Bila saya olah, pengarah pun suka. Kemudian, penerbit datang jumpa saya dan bagitahu mereka berminat nak jadikan lagu saya itu sebagai OST.
“Saya bukanlah nak kata saya ini penyanyi yang bagus. Bila orang bagi peluang, saya akan buat sehabis baik,” katanya kepada MH.
Farihin berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media dan tayangan perdana siri Kelas Belakang, baru-baru ini.
Menariknya, lagu Jatuh Bangun juga merupakan percubaan kali pertama Farihin menulis lagu sendiri.
“Saya tak pernah ada pengalaman menulis lagu. Ini pertama kali saya menuliskan lagu sendiri. Saya memang diberikan skrip tapi ia dalam bentuk luahan hati.
“Saya pun tak reti nak buat beat sendiri. Saya tiada akses. Jadi, saya hanya gunakan beat daripada YouTube. Ketika itu, saya tak tahu lagu itu akan menjadi ost.
“Namun, saya dapat bantuan daripada komposer, Killa Driz. Dia susun semula beat lagu itu,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Farihin menganggap peluang ini tidak seharusnya dilepaskan.
“Saya agak pressure bila diberikan peluang seperti ini. Saya sedar yang saya bukanlah seorang penyanyi. Saya hanya seorang content creator.
“Bila diberikan peluang untuk buat lagu, menyanyi dan dijadikan ost, saya rasa ini peluang yang sangat besar. Apa salahnya kita cuba.
“Saya memang agak nervous dan tak percaya untuk pegang tanggungjawab ini,” katanya.
Sementara itu, Farihin juga enggan mengambil pusing apabila ada pihak yang mengatakan laluannya untuk bergelar pelakon dan penyanyi lebih mudah kerana namanya sudah dikenali di media sosial.
“Saya terima segala pendapat yang orang berikan. Saya anggap segala kritikan adalah membina. Bila ada yang kata saya ini dapat jalan mudah, pada saya, apa salahnya saya mencuba bila peluang diberikan kepada saya.
“Orang luar tak nampak susah payah yang perlu saya lalui. Pada saya, rezeki ada di mana-mana. Saya buat ini pun hanyalah untuk kelangsungan hidup,” akhirinya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi sekarang!
Pelakon Datin Intan Najuwa tampil memberi kenyataan berhubung kes saman sivil yang difailkan oleh suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman terhadap jenama pereka fesyen, Rizman Ruzaini Creations (M) Sdn Bhd, bagi menyelesaikan jumlah pembayaran RM1.3 juta seperti yang diarahkan Mahkamah Tinggi.
Menerusi perkongsian di Instagram pada Isnin, Intan memuat naik tangkap layar penghakiman mahkamah bertarikh 16 Disember lalu yang jelas tertera nama defendan termasuk Rizman Ruzaini Creations (M) Sdn Bhd, Rizman Nordin serta Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil.
Menurut Intan, 29, keputusan mahkamah telah memihak kepada mereka dan pihak defendan kini diminta melaksanakan pembayaran semula pinjaman tersebut pada tarikh yang ditetapkan.
Menurut dokumen berkenaan, pihak defendan diarahkan membayar RM1,300,000 kepada plaintif pada atau sebelum 15 Januari 2026.
Mahkamah turut memerintahkan kadar faedah 5% dikenakan ke atas jumlah tersebut bermula 16 Januari 2026 sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya, selain kos guaman berjumlah RM15,000 yang perlu dibayar serta-merta, tertakluk kepada fi alukator.
Sementara itu pada ruang kapsyen, Intan menjelaskan dia dan suami memilih untuk berdiam diri hampir tiga tahun demi menghormati proses perundangan yang berjalan.
Tambah Intan, kenyataan itu dibuat khusus kepada pihak yang berkaitan tanpa melibatkan mana-mana pihak atau pereka fesyen lain sebagai seruan supaya arahan mahkamah dipatuhi dengan segera.
“Setelah hampir tiga (3) tahun memilih untuk berdiam diri, suami dan saya kini tampil secara terbuka berdasarkan keputusan mahkamah yang telah diputuskan.
“Tanpa melibatkan mana-mana pihak atau pereka fesyen lain, kenyataan ini dibuat khusus bagi menyeru Pereka Fesyen Rizman Ruzaini untuk melaksanakan pembayaran semula pinjaman seperti yang telah diarahkan oleh Mahkamah melalui penghakiman yang telah memihak kepada kami.
“Kenyataan ini dibuat secara berfakta dan berhemah, selaras dengan keputusan undang-undang yang sah, selepas kami memilih untuk menunggu dan menghormati proses perundangan sepenuhnya,” tulisnya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
A post shared by Intan Najuwa (@intannajuwa)
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi sekarang!
Trio Indonesia, Mendua menambat hati para juri dengan menampilkan persembahan mantap menerusi lagu Terlalu Istimewa (Adibah Noor) pada saingan suku akhir Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) malam tadi.
Ia sekali gus memberi tuah buat Mendua apabila berjaya menduduki tangga teratas dengan markah 70.50%, diikuti Nubhan dengan 70.00%.
Tempat ketiga pula disandang Mark Adam dengan 67.75% atas persembahannya menerusi lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta.
Sementara itu, rezeki Freshies untuk terus mara ke separuh akhir terkandas apabila diumumkan sebagai peserta tersingkir selepas menerima markah terendah dengan 56.75%.
Berikut adalah kedudukan penuh dan markah keseluruhan peserta minggu suku akhir GV12;
Sebanyak 13 bintang berentap dalam Gegar Vaganza musim ini iaitu Nubhan, Mark Adam, Datuk Elaine Kang, Krisya, Korie, Rahmat Ekamatra, Mell Sakura serta kumpulan Freshies (Ejie dan Shima).
Dari Indonesia, pentas GV12 diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) yang membawa warna muzik tersendiri.
Singapura pula diwakili oleh Iskandar Ismail, manakala SHY8 hadir sebagai peserta wildcard musim ini.
Ia pastinya menjanjikan sentuhan seni yang unik serta kejutan segar yang bakal mencetus fenomena baharu dalam GV-Verse.
Penganjuran Gegar Vaganza tahun ini masih mengekalkan Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS sebagai juri tetap.
Program ini dikendalikan oleh dua hos, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.
GV12 bersiaran secara langsung dari MBSA, Shah Alam bermula 2 November 2025, setiap Ahad jam 9 malam, dan dipancarkan menerusi Astro Ria (saluran 104).
GV12 juga boleh disaksikan secara strim On Demand di Astro GO dan sooka.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi! Download aplikasi sekarang!
© Hakcipta Terpelihara Nu Ideaktiv Sdn. Bhd ❤️ Dikendali Oleh Astro Group
