
Bintang baharu yang semakin mencuri perhatian, Dania Iza kini bersedia untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri hiburan tempatan.
Dania Iza atau nama sebenarnya, Dania Iza Hijazi Ahmad Ridhaudin, 19, merupakan Pemenang Miss Kuala Lumpur 2024 dan sinonim dengan jolokan ‘beauty with brain’ hasil bakat dan kebolehannya dalam bidang pengacaraan serta forum.
Bersandarkan bakat dan kesungguhan yang tinggi, kehadiran Dania dilihat mampu membawa warna baharu dalam landskap seni lakon komersial tanah air.
Malah namanya mula menjadi sebutan menerusi penampilannya dalam siri drama popular Rona Bosphorus.
Naskhah tersebut membuka ruang yang lebih luas untuk beliau mengembangkan kerjaya seni, bukan sahaja di peringkat tempatan malah serantau.
Lakonannya dalam drama berkenaan turut mencetuskan fenomena tersendiri apabila menjadi tular dalam kalangan peminat seni di Indonesia.
Melonjakkan lagi portfolio seninya, Dania kini diberikan kepercayaan oleh syarikat produksi NS Star Sdn Bhd untuk menggalas tanggungjawab besar sebagai antara teraju utama dalam drama rantaian baharu bergenre aksi bertemakan bomba berjudul PB Orked di TV2.
Drama tersebut mengisahkan perjuangan, konflik kekeluargaan dan pencarian cinta seorang wanita cekal bernama Orked yang perlu mengharungi cabaran dunia moden serta kerjaya lasak demi mempertahankan prinsip dan maruah dirinya.
Bagi menghidupkan watak sebagai anggota penyelamat secara lebih berkesan, Dania turut menjalani latihan fizikal yang mencabar.
“Watak Orked sangat menuntut ketahanan fizikal dan mental disebabkan elemen aksi penyelamatan yang realistik. Ini merupakan satu fasa baharu yang sangat mencabar.
Namun saya tekad untuk terus belajar demi memberikan yang terbaik kepada peminat dan industri kreatif negara,” katanya.
Dania juga menyifatkan kemunculannya sebagai teraju utama dalam PB Orked sebagai titik tolak penting dalam perjalanan kerjaya lakonannya.
Baca Artikel Lain;
Di sebalik watak mencabar yang dibawakan, anak jati Kajang, Selangor itu sebenarnya memiliki latar belakang yang cukup dinamik dan pelbagai.
Dania meminati aktiviti lasak serta sukakan cabaran fizikal dan disebabkan imejnya yang aktif dan berdaya tahan, dia pernah dipilih menyertai inisiatif nasional berskala besar seperti kempen Tabik Wira Kita dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Kelebihan dari segi stamina serta ketahanan mental turut membantunya melaksanakan sendiri beberapa babak aksi dalam
PB Orked.Selain itu, Dania juga aktif dalam bidang komunikasi dan pengucapan awam selain pernah terlibat dalam dunia pidato, pengacaraan program gaya hidup TROLB (Super Sunday) serta memiliki pengalaman selama tiga tahun dalam bidang peragaan sehingga ke peringkat antarabangsa di Beijing, China.
Dengan pakej lengkap yang merangkumi rupa, bakat dan kekuatan mental, Dania Iza optimis untuk terus mewarnai industri seni lakon komersial negara.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini