Penglibatan Amy Mastura dalam arena seni hiburan tempatan sudah pun melewati lebih dua dekad. Dalam tempoh itulah, pelbagai lakaran jaya telah dilakar anak jati Batu Gajah, Perak, ini sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan artis senior lain yang disegani.
Malah sehingga kini, pemilik nama lengkap Amy Mastura Suhaimi ini masih lagi aktif, tidak hanya dalam dunia nyanyian, malah juga dalam pengacaraan dan lakonan.
Terbaru, wataknya sebagai Puan Sri Laila menerusi drama popular, Mencintaimu Mr. Photographer turut mencuri perhatian.
Menyifatkan peluang lakonan yang diterimanya sebagai rezeki, Amy Mastura yang popular menerusi lagu Bintang Hati ini turut berterima kasih buat penggiat seni yang masih mempercayai bakatnya dalam seni, meski ramai muka baru yang datang dan pergi.
“Alhamdulillah, meski saya ni boleh dikatakan sebagai orang lama, tapi tetap ada yang masih ingat. Terima kasih atas ingatan dan peluang yang masih diberikan hingga kini. Sejujurnya, saya akui pada fasa sekarang, tuah dan rezeki saya lebih terarah kepada lakonan.
“Saya okay saja. Kalau ada rezeki dalam nyanyian, atau pengacaraan saya terima. Begitu juga dengan lakonan. Saya terima dengan hati terbuka,” katanya positif.
Ditanya sama ada bekas penyandang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 1999 ini sama ada dia merancang untuk lebih aktif dalam lakonan berbanding nyanyian pada ketika ini, Amy akui tidak pernah merancang.
Akan tetapi, sebagai anak seni dia terima apa sahaja job yang diberikan, asalkan bersesuaian dan kena pada waktunya.
“Sejujurnya, saya tak pernah rancang. Misalnya pada waktu ini saya mahu aktif berlakon, dua tiga tahun lagi plan nak aktif menyanyi saja. Tidak pernah plan sebab bagi saya, apa yang dilakukan ini adalah kerja.
“Bila kata kerja, tanggungjawab yang diberikan orang pada kita itu tinggi. Jadi perlu buat dengan sehabis baik. Saya juga tidak ada rasa mahu memilih kerana seperti yang saya beritahu, ini adalah seperti amanah dan orang beri tawaran pada kita sebab mereka percaya dengan bakat dan kebolehan kita. Jadi mengapa perlu tolak kan?
“Alhamdulillah, tawaran berlakon untuk saya itu masih lagi ada. Asal wataknya bagus, sesuai dengan status dan kena pada masanya, insya-ALLAH saya tidak akan tolak.
“Bagaimanapun, saya ada juga merancang untuk merakamkan single baru. Tapi kena duduk berbincang dululah dengan pihak pengurusan sebab untuk rakam dan lancar lagu baru bukan suatu hal senang.
“Perlu ada kata sepakat dan perancangan teliti sebelum rakam lagu yang benar-benar beri impak buat pendengar,” ujar Amy panjang lebar.
Kali terakhir bintang filem Trauma ini melancarkan single adalah sekitar setahun lalu menerusi lagu berjudul Khalimah.
Bercerita dengan lebih lanjut mengenai penglibatannya dalam dunia lakonan, Amy turut memanjangkan pujiannya buat muka baru yang cukup gigih dalam bekerja demi mengutip pengalaman.
Justeru, baginya, senario tersebut adalah suatu yang positif memandangkan industri seni Malaysia perlukan lebih warna demi menghangatkan lagi dunia hiburan tanah air.
“Saya suka berlakon dengan pendatang baru. Lebih-lebih lagu buat mereka yang cukup bersungguh-sungguh untuk belajar. Tak malu bertanya. Mereka juga tidak persiakan peluang yang diberikan. ‘Tabik spring’ buat mereka.
“Ada yang berlakon bagus dan ada juga penyanyi baru yang hebat,” luah Amy yang turut memberitahu, peluangnya untuk bekerjasama dengan mereka juga secara tidak langsung memberi ruang buatnya untuk menambah kenalan di kalangan anak-anak muda.
Terang Amy lagi, sebagai artis yang lebih senior, adalah lebih baik sekiranya kita saling menghormati sesama artis, tidak kira baru atau lama.
“Jangan anggap orang baru ini datang dunia seni dengan ‘kosong’. Ya, mereka mungkin kurang pengalaman. Namun, sebilangannya ada pengetahuan yang tinggi.
“Soal bersaing pun tidak ada sebab masing-masing ada kelebihan. Tambah pula mereka merupakan wajah yang segar yang ‘in’ dalam industri.
“Bagi muka baru yang betul-betul hadir dalam industri untuk belajar dan mengutip pengalaman, saya cukup hormati dan alu-alukan kehadiran mereka dalam seni,” akhiri Amy yang ditemui Media Hiburan pada majlis rumah terbuka Sony Music di Ruang, Shah Alam, baru-baru ini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI