Pelakon dan pelawak veteran, Kamarool Cik Man atau nama sebenarnya Kamarool Haji Yusoff, dilaporkan meninggal dunia pada usia 67 tahun kira-kira jam 5 petang tadi.
Berita pemergian pelakon itu disahkan anak keduanya, Fakhrol Aliff yang memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tanah Merah, Kelantan.
“Saya baru balik dari rumah tadi, rasanya dalam pukul 5 petang.
“Saya balik mandi lepas jaga abah tadi selepas itu kakak telefon kata datang hospital sebab abah dah tak ada,” katanya.
Sempat Mengadu Sakit Perut Sebelum Ditidurkan
Menurut Fakhrol lagi, bapanya yang popular menerusi filem Rock Oo itu sebelum ini tidak mengalami masalah kesihatan serius, kecuali pernah diserang sakit jantung dua tahun lalu.
Ads
“Abah sebelum ini tak sakit teruk pun, kali terakhir dia kena serangan jantung dua tahun lepas.
“Selepas daripada itu, periksa jantung semua tak ada tapi dia selalu macam gastrik. Dia teruk semalam.
“Dia ada mengadu sakit tapi gastrik, sakit perut dan sakit belakang. Macam angin begitulah.
Ads
“Jadi, bila nak ajak pergi hospital dia tak nak. Semalam, dia dah tak tahan sangat dah,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Fakhrol memaklumkan pihak keluarga masih belum mengetahui maklumat lanjut berhubung urusan pengebumian Allahyarham.
Ads
Semalam, Allahyarham Cik Man ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas disahkan mengalami masalah saluran jantung tersumbat.
Untuk rekod, Allahyarham memulakan kemunculan sulung menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja.
Nama Farouk yang cukup sinonim dalam kalangan peminat era 1980-an kemudiannya digantikan dengan panggilan Cik Man, menerusi watak ikonik yang dibawakannya dalam filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Peserta Big Stage Rocketfuel, Danial Kifli mengakui sedih apabila namanya diumumkan berada di kedudukan terakhir pada konsert minggu keenam pertandingan realiti nyanyian itu, malam tadi.
Menerusi persembahan lagu Cinta Dewa Dewi nyanyian asal kumpulan Spider, Danial gagal memikat hati barisan juri sekali gus hanya memperoleh markah 65.50 peratus.
Menurut penyanyi berusia 23 tahun itu, dia sudah memberikan usaha terbaik meskipun lagu berkenaan bukan dalam kebiasaan genre nyanyiannya.
“Saya agak sedih sebab saya dah cuba buat yang terbaik walaupun orang tahu lagu itu bukan genre saya. Selama ni jika ada acara luar, saya memang jarang membawakan lagu bergenre sebegitu.
“Sejujurnya saya tak pernah dengar lagu itu. Kalau ada pun dalam radio. Bila pertama kali membawakan lagu ini saya anggap ia sebagai satu cabaran,” katanya kepada MH.
Danial berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu keenam Big Stage Rocketfuel di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada Ahad.
Walaupun kecewa dengan keputusan tersebut, Danial memilih untuk terus berfikiran positif dan mengakui persembahannya pada malam itu sememangnya belum mencapai tahap terbaik.
“Bila keputusan macam tu, saya rasa sedih. Apa-apa pun saya pandang ke depan. Kalau ada rezeki, adalah, kalau tiada, mungkin ada hikmah.
“Memang saya layak dapat tempat terakhir sebab saya tahu itu bukan yang terbaik saya bagi,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Danial mendedahkan dia berdepan beberapa masalah sebelum memulakan persembahan, termasuk isu pakaian serta keadaan kesihatan yang kurang baik sehingga memberi kesan terhadap persembahannya.
“Sebenarnya saya ada sebab kenapa jadi begitu, tapi saya tak boleh cakap ketika acara berlangsung sebab takut orang kata ‘alasan’.
“Sebelum mula persembahan, ada masalah dengan baju, jadi saya terpaksa menunggu lama sebab kena ‘alter’.
“Selepas itu, saya mengalami sakit kepala dan tak dapat cari Panadol. Setengah jam sebelum persembahan bermula baru dapat makan dan barulah keadaan saya baik sedikit,” jelasnya.
Dalam pada itu, Danial tidak menafikan jadual yang padat sepanjang menyertai Big Stage Rocketfuel turut menjadi antara cabaran terbesar buat dirinya.
“Bila saya sertai Big Stage, jadual sangat padat dengan pelbagai aktiviti dan kelas. Jadi masa untuk berlatih agak kurang, itu juga antara faktor yang menganggu fokus saya.
“Saya kurang rehat dan kena kerja lebih. Bila tengok peserta lain, memang saya rasa agak tercabar kerana mereka semua bersungguh-sungguh belajar dan memang layak berada dalam pertandingan ini,” katanya.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Danial tetap menganggap penyertaannya dalam pertandingan itu sebagai satu pengalaman dan proses pembelajaran yang sangat bermakna.
“Ini adalah pengalaman pertama saya dalam pertandingan sebegini. Sebelum ini, kalau ‘perform’ dekat mana-mana majlis, habis nyanyi boleh terus balik.
“Tetapi dalam Big Stage, kita kena dengar komen juri dan itu adalah pengalaman baru untuk saya,” akhirinya.
Sepanjang lapan minggu pertandingan, para peserta bersaing bagi merebut tiga gelaran utama yang menawarkan Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.
Musim kali ini pada asalnya menampilkan 10 peserta iaitu Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-Z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina dan duo Adam & Nazmie sebelum Hussain diumumkan sebagai peserta ke-11.
Ganjaran yang ditawarkan merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.
Program yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva Natassha itu bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria, selain boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Jarang dilihat membintangi drama televisyen sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, tetap bersyukur dengan segala perancangan serta rezeki yang telah diaturkan buat dirinya.
Menurut Aliff, setiap peluang yang hadir termasuk menerusi platform over-the-top (OTT) akan dimanfaatkan sebaik mungkin.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Sayang Sayang itu memilih untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai pemilihan pelakon oleh stesen televisyen kerana perkara tersebut bukan berada di bawah bidang kuasanya.
“Saya pun tak tahu soal itu.Saya bukan bertugas di stesen televisyen (TV) tempatan. Jadi, saya sendiri tidak pasti dan tidak berani mengulas apa yang sebenarnya dibincangkan atau sama ada perkara itu benar atau tidak.
“Bagi saya, saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa di mana ada rezeki, di situlah saya akan menyanjungnya dengan baik.
“Katakan selepas ini ada peluang di stesen TV tempatan, saya juga akan lakukan sebaik mungkin. Bukan dalam kawalan atau kuasa saya untuk menentukan siapa yang dipilih atau tidak dipilih,”
Aliff berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama terbaharunya, Madu Atau Racun di A Quite Place, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Mengulas dakwaan kononnya dia digam daripada muncul di stesen TV tempatan, Aliff mengakui tetap berasa sedih sekiranya perkara itu benar. Bagaimanapun, dia memilih untuk melihat setiap dugaan dari sudut yang lebih positif.
“Sekiranya ada mendengar perkara seperti itu, sudah tentulah ada rasa sedih. Tetapi saya akan kembali mengingatkan diri bahawa mungkin Allah menyediakan sesuatu yang lebih baik.
“Apabila saya fikir ada yang lebih baik menanti, saya tidak terlalu tertekan. Walaupun ada yang berkata mereka tidak mahukan saya berada di sesuatu tempat, Alhamdulillah masih ada pihak lain yang memberikan peluang,” katanya.
Walaupun sering berdepan pelbagai persepsi dan kritikan, bapa kepada dua cahaya mata itu tetap bersyukur kerana masih menerima sokongan daripada pihak yang percaya terhadap bakatnya sebagai anak seni.
“Saya sangat bersyukur. Bukanlah saya hendak menunjuk atau berkata, ‘tengok, saya masih ada’, tidak. Rezeki itu ada di mana-mana. Jadi, apabila peluang itu datang kepada saya, saya akan menghargainya dan memberikan yang terbaik.
“Dalam banyak-banyak komen negatif, saya percaya masih ramai yang mendoakan saya, sama ada secara terbuka mahupun secara diam-diam. Saya benar-benar percaya kepada perkara itu,” kata bekas suami kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah ini.
Aliff turut menyifatkan doa daripada keluarga serta individu yang sentiasa memberikan sokongan menjadi antara kekuatan utama untuknya terus bertahan dalam industri hiburan.
“Saya rasa saya masih berada di sini hari ini kerana doa ibu, ayah, adik-beradik dan juga doa daripada orang yang mungkin saya sendiri tidak kenal. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan kata-kata semangat.
“Saya juga ada membaca mesej peribadi yang mendoakan supaya saya terus melangkah ke hadapan dan berjaya. Sebab itu saya memilih untuk memberi tumpuan kepada perkara-perkara positif daripada melayan komen yang sekadar mahu menghina atau memaki,” katanya.
Sebelum ini, ketiadaan Aliff daripada mana-mana naskhah drama di layar kaca menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penonton.
Malah timbul dakwaan bahawa aktor kelahiran Singapura itu telah ‘digam’ daripada muncul di saluran TV tempatan.
Dalam perkembangan lain, Aliff bakal tampil menerusi drama Madu Atau Racun arahan Eyra Rahman yang akan menemui penonton di platform iQIYI bermula 14 Ogos ini.
Selain Aliff, drama 12 episod yang sarat emosi itu turut dibintangi Uqasha Senrose, Elisya Sandha, Adlin Aman Ramlie, Liza Abdullah, Aprena Manrose dan ramai lagi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi dan komposer, Zubir Khan meluahkan rasa syukur apabila majlis pernikahannya bersama wanita pilihan hati, Dr. Heama Maleini, berlangsung dengan lancar pada Jumaat.
Sah sebagai suami isteri dengan hanya sekali lafaz, penyanyi lagu OMK itu menyifatkan detik tersebut sebagai momen paling bermakna dalam kehidupannya.
“Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dengan izin Allah. Dengan hanya sekali lafaz, saya sudah menjadi suami kepada Heama Maleini.
“Saya sangat gembira dan sukar untuk gambarkan perasaan ini,” katanya kepada MH.
Zubir berkata demikian ketika ditemui pada majlis akad nikah yang berlangsung di Bangi Golf Resort, Bangi, pada Jumaat.
Dalam pada itu, dia turut berkongsi keistimewaan isterinya yang disifatkan sebagai insan yang sangat memahami serta sentiasa berada di sisinya dalam apa jua keadaan.
Tambahnya lagi, kasih sayang yang diberikan Heama mengingatkannya kepada kasih seorang bapa, selain sentiasa membantu tanpa perlu diminta.
“Dalam percintaan kasih sayang itu merupakan perkara yang biasa. Namun, bila bersama Heama, saya mendapat kasih sayang seperti mana yang ayah saya pernah berikan.
“Heama telah menjadi tangan kanan saya. Seperti contoh, ada kalanya saya tak dapat nak ambil sesuatu barang, dia akan bantu saya tanpa perlu cakap atau minta tolong,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Dr. Heama turut meluahkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan lelaki yang disifatkannya setia serta sentiasa mengambil berat tentang dirinya.
Jelas Dr. Heama, sifat dimiliki Zubir mengingatkannya kepada keperibadian bapanya.
“Saya sangat teruja tapi pada awalnya saya agak berdebar juga. Ketika Zubir sedang melafazkan akad nikah, saya agak risau kerana biasanya akan ada lafaz kedua atau ketiga.
“Alhamdulillah Zubir dapat lakukannya dengan hanya sekali lafaz. Ketika ini, saya sangat bersyukur kerana dikurniakan suami yang setia dan mengambil berat. Pada saya, itulah hal paling utama dalam perkahwinan.
“Selepas bapa saya, saya mencari seorang lelaki yang setia dan saya bertemu dengan Zubir. Dia ialah kurniaan Tuhan kepada saya,” kongsinya.
Dalam perkembangan sama, Zubir mengakui tanggungjawab sebagai suami, termasuk membimbing isterinya yang merupakan saudara baharu, merupakan amanah besar yang tidak boleh dipandang ringan.
Bagaimanapun, dia optimis untuk membimbing Heama secara berperingkat agar dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu mereka sebagai pasangan suami isteri.
“Tanggungjawab ini besar untuk saya. Ketika ini, saya anggap dia seperti bayi. Saya akan bimbing dan dia juga memang sudah bersedia untuk ikut saya. Tiada masalah pun.
“Kita bimbing secara perlahan-lahan dan ambil langkah demi langkah. Semuanya perlu mengambil masa. Jangan risau, saya akan bimbing dia,” akhirinya.
Terdahulu, Zubir dan Dr. Heama sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz pada Jumaat.
Pada majlis itu, Zubir dinikahkan oleh jurunikah merangkap Penolong Pendaftar Perkahwinan Daerah Hulu Langat, Abdul Aziz Abd Rahman.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Bagai menepati ramalan peminat, Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris menjadi antara artis jemputan yang akan memeriahkan Konsert Tradisional Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dijadual berlangsung 17 Oktober depan.