
UNIC
Setelah 24 tahun mewarnai industri hiburan dan muzik nasyid tanah air, kumpulan nasyid UNIC melangkah setapak lagi menerusi projek terbaharu mereka yang diberi nama UNICOUSTIC PODCAST.
Menerusi projek tersebut, mereka bakal merakamkan semula kesemua lagu daripada album terdahulu mereka dalam nafas baharu.
Lagu-lagu yang terkandung di dalam album sulung berjudul YOU AND I SEE misalnya, akan diberi sentuhan akustik, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza kepada para pendengar.
Lebih istimewa, versi akustik bagi album tersebut turut dipersembahkan dalam bentuk podcast yang menggabungkan elemen muzik dan penceritaan.
Menurut Dr Fitri Haris yang mewakili UNIC, podcast tersebut dihasilkan khusus untuk berkongsi sejarah awal penubuhan kumpulan berkenaan, termasuk kisah di sebalik pembikinan lagu-lagu dalam album pertama mereka.
Selain itu, podcast tersebut turut menampilkan pelbagai pengalaman suka dan duka yang dilalui anggotanya iaitu Dr Fitri Haris, Bazli Hazwan dan Fakhrul Radhi sepanjang memperjuangkan irama nasyid di Malaysia.
“Projek terbaru ini mengandungi 10 episod podcast dan 10 lagu versi akustik dari album pertama adalah dari Geran Dana Kandungan Kreatif dibawakan khas oleh Kementerian Komunikasi Dan Digital melalui My Creative Venture diterbitkan oleh UNIC LEGACY.
“Geran ini sangat memberi impak kepada pemain industri seperti kami terutama dalam industri nasyid sendiri.
“Kami harap dengan buah tangan terbaru kami ini dapat mengembalikan nostalgia dari awal penubuhan sehingga kami dapat bertahan hingga ke hari ini,” kata Fitri.
Baca Artikel Lain;
Dalam pada itu, Fitri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perjalanan seni dan misi yang dibawa UNIC selama ini.
“Terima kasih kepada Kementerian Komunikasi Dan Digital,My Creative Venture dan juga rakan media yang sentiasa bersama dalam perjuangan kami dalam menyampaikan dakwah dan misi kemanusiaan sejagat,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini