“Yang Penting, Saya Berpuas Hati…,” – Ulang Tahun ke-25 Dalam Industri Seni & Sempat Siapkan 2 MV, Hadiah Siti Nurhaliza Sebelum Bersalin Anak Keduanya

Penyanyi tersohor, Dato’Sri Siti Nurhaliza menyambut ulang tahun ke– 25 tahun di dalam industri seni, hari ini.

Beliau yang kini sedang sarat hamil telah menghadiahkan sesuatu yang istimewa pada tarikh istimewa ini dengan melancarkan album lagu kanak-kanak, Legasi.

Album terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd diterbitkan secara digital dan juga album fizikal.

Bermula 1 April, para pencinta muzik dan peminat boleh mendapatkan album penuh di seluruh platform digital dan pihak SNP memberikan kepercayaan kepada syarikat Universal Music Sdn. Bhd sebagai pengedar.

Sementara, album fizikal atau CD pula boleh dilanggan melalui platform snp.onpay.my atau menerusi Affiliate SNP yang sah.

Bagi penerbitan album yang ini, Siti telah memberi kepercayaan kepada penerbit muda, Pown Hasril bagi memberikan sentuhan baru dan segar untuk keseluruhan lagu yang ditampilkan.

Menariknya juga, Siti juga sempat menyiapkan dua buah video sebelum berehat untuk persediaan melahirkan dan berpantang.

Video muzik lagu Medley Klasik Siti 1 akan dilancarkan padajam 9 malam, 1 April di saluran youtube Siti Nurhaliza.

Video muzik ini mendapat kerjasama daripada syarikat Beausiti dan Wonderlab.

IKLAN

Sebuah lagi video muzik ialah menerusi lagu ciptaan Siti untuk bayi yang bakal lahir yang diberi judul Anakanda.

Video muzik untuk lagu ini mendapat tajaan syarikat Cuckoo dan akan dilancarkan pada bulan April juga.

Menurut Siti, penerbitan album kanak-kanak ini merupakanusaha beliau bagi melestarikan lagu kanak-kanak klasiksupaya terus diingati dan menjadi warisan generasi akan datang.

Selain itu, sebagai penyanyi yang telah bergelar ibu, Siti berpendapat lagu atau muzik kanak-kanak mempunyai impak positif bagi membantu perkembangan dan pembelajaran.

Kanak-kanak dilihat lebih cepat dan peka mempelajaribahasa,kreativiti, motivasi dan tunjuk ajar.

“Apa yang penting adalah mesej yang kita sampaikan di dalam sesebuah lagu. Anak-anak ini akan cepat belajar dan memahami, justeru dalam lirik lagu kanak-kanak termasuk olahan lirik terbaharu, saya memberikan mesej yang baik serta berguna,’’ ujar penyanyi berusia 42 tahun ini.

Single Medley Klasik Siti 1 merupakan lagu kanak-kanak yang sering dinyanyikan oleh Siti bersama rakan-rakan sewaktu tinggal di berek polis di Kuala Lipis, Pahang.

Nostalgia puluhan tahun lalu diabadikan oleh beliau di dalam sebuah lagu dan berharap agar permata hatinya, Siti Aafiyah mengenal lagu kanak-kanak zaman beliau dahulu.

Ujar Siti, beliau berharap agar album Legasi tidak disamakan dengan album komersil beliau yang lain.

Penerbitan sebuah album komersil pasti tidak sama dengan album kanak-kanak yang lebih santai dan tentunya berbeza dalam banyak aspek serta pemilihan.

Namun apabila mendengar album ini, dia yakin usahanya tidak sia-sia kerana Legasi menampilkan keistimewaan yang tersendiri.

IKLAN

“Saya tetap mengutamakan kualiti muzik, bunyi dan gubahan yang baik dalam sesebuah lagu dan album Legasi mempunyai keseronokan tersendiri sewaktu di dalam studio.

“Apa yang penting, saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja dan usaha yang dibuat oleh Pown Hasril selaku penerbit bersama pasukan kerjanya,’’ katanya.

Album Legasi mengandungi 7 buah lagu dan mempunyai 10 buah track termasuk interlud.

Di dalam album ini, Siti turut menghasilkan sebuah lagu buat anak yang bakal dilahirkan yang diberi judul Anakanda.

Sebuah lagi lagu ciptaan beliau sebelum ini iaitu Comel Pipi Merah turut dimuatkan di dalam album ini.

Lain-lain lagu termasuk Anakku Sayangku (lagu asal Anakku Sazali), Medley Klasik Siti 2, Bintang Kecil dan Burung Kakak Tua.

Foto: Instagram Siti Nurhaliza