
Penyanyi Ernie Zakri menegaskan dirinya kini diberikan lebih kebebasan dan kuasa untuk menentukan hala tuju kerjaya muzik selepas menandatangani semula kontrak bersama Universal Music Malaysia.
Menurut Ernie, sebelum ini, dia terbuka terhadap apa-apa pandangan selain mengikut percaturan pihak atasan walau ada ketikanya kurang bersetuju dengan keputusan yang dibuat.
“Ada pihak yang bertanya mengenai album-album yang saya janjikan sebelum ini. Saya sendiri yang maklumkan perkara itu. Sudah tentu mereka akan tuntut janji saya.
“Namun, kena ingat juga, dahulu saya berada di bawah syarikat rakaman. Ketika itu, ada banyak percaturan dan percampuran yang saya sendiri kurang tahu.
“Alhamdulillah, ketika ini, saya diberi rezeki untuk menandatangani semula kontrak bersama Universal Music selama tiga tahun. Kali ini, saya diberikan kuasa untuk menguruskan sendiri perjalanan muzik saya.
“Saya tentukan sendiri karya-karya saya. Itulah janji saya kepada peminat. Buat yang bertanya tentang album, nantikanlah. Saya akan susun segalanya sebaik mungkin,” katanya kepada MH.
Isteri kepada penyanyi Syamel itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran lagu Tak Berlagu, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Ernie turut memohon agar para peminat memberikannya sedikit ruang dan masa untuk menyusun perancangan terbaik sebelum melancarkan album baharu.
“Sebelum ini, segalanya di luar kuasa saya. Saya faham ramai peminat yang bertanya tentang album Sahabat. Sebenarnya, album itu sudah pun siap.
“Sudah tentu saya teruja untuk memberikan yang terbaik buat peminat. Saya bergabung dengan ramai komposer dan penyanyi-penyanyi hebat.
“Takkanlah saya tak mahu lancarkannya pula. Saya harus susun secantik mungkin,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ernie mengakui perjalanan panjang dalam industri muzik sejak usia 17 tahun banyak mematangkan dirinya.
“Dalam industri ini, saya melalui tempoh matang yang sangat lama. Saya mula menyanyi pada usia 17 tahun. Saya berdepan dengan pelbagai isu dan sikap manusia.
“Mungkin mereka merasakan boleh kawal seseorang artis itu. Padahal, artis itu sendiri ada visi dan tahu jalan yang boleh buat peminat suka.
“Sebelum ini, ada beberapa isu yang berlaku. Namun, saya tanganinya dengan tenang. Selepas album Aura, mungkin peminat nampak sedikit kecelaruan dalam lagu-lagu yang saya keluarkan.
“Ketika itu, segalanya berlaku di luar kuasa saya. Kini, saya berjumpa dengan team yang sangat hebat. Saya sangat gembira untuk berkarya semula,” kongsinya lagi.
Malah, Ernie mengakui dia kini lebih selesa kerana dikelilingi pasukan kerja yang memahami visi serta hala tuju yang ingin diketengahkan.
“Sebagai artis, sudah tentu kita mahu berkembang. Kita tidak nak kekal di takuk lama sahaja. Kini, saya dibawah jagaan kakak saya sendiri. Saya hanya mahu berkarya dengan lebih positif.
“Dahulu, mungkin ada yang ingin ambil kesempatan terhadap diri kita. Itu yang membuatkan saya agak tenggelam dan tak tahu hala tuju sebenar.
“Orang cakap apapun, kita ikut sahaja. Ketika ini, saya ada visi yang berbeza dan team yang positif. Mereka tahu untuk tentukan apa yang baik dan buruk untuk saya.
“Kini, kepala saya sangat lapang. Saya dan Universal Music buka buku baharu. Saya kini diibaratkan seperti artis baharu semula,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini