Penyanyi dan penulis lagu, Daqmie mendedahkan dia punyai sebab yang tersendiri mengapa memilih untuk bergabung dengan empat kumpulan nasyid lain di dalam projek album terbarunya Sahabat Selamanya.
Menurut Daqmie, dia berbesar hati untuk membelanjakan Dana Kandungan Kreatif Digital (DKD) yang diperoleh daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKOMM) bersama kumpulan Hijjaz, Rabbani, Inteam dan Mestica.
Katanya lagi, keputusan dibuat diatas dasar persahabatan yang telah terjalin sejak dua dekad yang lalu.
“Sewaktu saya ingin menjalan projek ini, ada pihak bertanya kepada saya, kenapa saya bodoh sangat habiskan dana ini berkongsi dengan orang lain dan kenapa tak guna untuk saya seorang je?
“Katanya saya boleh makan untung sorang tapi buat apa kongsi. Sebenarnya soal untung ini saya tolak tepi dahulu.
“Pada saya, kalau saya tak buat begini, saya tak akan dapat lagi suasana seronok berkumpul dengan kawan-kawan nasyid untuk rakamkan album seperti mana yang kami selalu buat 20 tahun dulu.
“Kami semua ini rata-ratanya dah menginjak usia 50 tahun. Bila lagi kami boleh berkumpul macam ni? Jadi inilah waktunya. Saya juga menjayakan projek atas persahabatan,” katanya kepada MH.
Ketika ditanya mengenai pemilihan kumpulan nasyid tersebut, Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap menjelaskan dia akan mendahulukan kumpulan yang berkelapangan dan boleh memberikan komitmen.
“Pada awalnya, saya merancang untuk menjemput lima kumpulan utama yang menjadi pelopor industri muzik nasyid kontemporari tanah air seperti Hijjaz, Rabbani, Brothers, Raihan dan Saujana, tetapi tiga kumpulan ini terlebih dahulu punyai komitmen lain.
“Jadi, pemilihan Inteam dan Mestica di dalam projek ini bukan sebagai pengganti tetapi saya utamakan dahulu kepada mereka yang boleh berikan komitmen.
Lagipun, saya memang sudah biasa untuk berkersama dengan empat kumpulan ini sejak 20 tahun lalu yang ketika aktif sebagai produser,” kongsinya lagi.
Daqmie berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media pelancaran album Sahabat Selamanya baru-baru ini.
Album ini turut memuatkan enam buah lagu baru dan empat buah lagu lama yang diberikan nafas baru.
Malah, kesemua lagu ini juga turut mempunyai muzik video yang tersendiri.
Bagaimanapun, Daqmie enggan mendedahkan jumlah sebenar kos pembikinan album disebabkan kontrak bersama pihak KKOMM
“Kos untuk menjayakan album ini sangat besar tapi saya tak boleh nak dedahkan kerana masih terikat dengan kontrak. Apa yang boleh saya katakan ia mencecah enam angkat.
“Selain 10 buah lagu yang dihasilkan, semua muzik video juga sudah disiapkan. Jadi, boleh agak sendiri berapa kosnya,” akhirinya.
Terdahulu, Sahabat Selamanya bakal menemui peminat diseluruh platform digital bermula 9 Oktober ini bersempena sambutan Maulidur Rasul.
Manakala, muzik video pula akan dimuat naik di platform Youtube Daqmie Official.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI