
Selepas tujuh tahun berehat daripada dunia lakonan, pelakon popular Azar Azmi akhirnya kembali menghiasi kaca televisyen menerusi drama bersiri terbahar, Bulan Henti Bicara, yang mula bersiaran malam ini menerusi slot Megadrama Astro Ria.
Sejak pengumuman rasmi mengenai pembabitannya dibuat pada Mei lalu, keterujaan peminat jelas dapat dirasai.
Malah, video pengumuman yang diterbitkan oleh Bambam Studios mencetuskan fenomena apabila meraih lebih sejuta tontonan di TikTok dalam tempoh kurang 24 jam.
Ia sekali gus membuktikan nama bekas peserta Dewi Remaja sezaman Neelofa dan Anzalna ini masih mempunyai pengaruh besar dalam industri hiburan tempatan.
Lebih menarik, dia kali ini membawa watak yang penuh emosi dalam naskhah yang mengangkat isu kekeluargaan, kasih sayang, pengorbanan dan penderaan rumah tangga.
“Saya mengambil masa seminggu untuk memberi jawapan menerima watak Faziah yang diberikan.
“Untuk jadi Faziah bukan mudah kerana dia mengharapkan kasih sayang tetapi tidak dapat.
“Untuk menerima watak ini, saya diyakinkan sendiri oleh penerbit, pengarah dan pasukan kerja.
“Alhamdulillah saya dapat bekerjasama dengan kak Eyra yang sangat membantu untuk membentuk seorang Faziah,” katanya.
Baca Artikel Lain;
Bulan Henti Bicara mengisahkan perjalanan hidup Zulfa, yang terperangkap antara tanggungjawab sebagai anak yang taat kepada bapanya dan sebagai isteri yang menjadi mangsa penderaan mental serta fizikal.
Dalam usahanya mempertahankan maruah dan kebahagiaan keluarga, Zulfa perlu berdepan pelbagai ujian yang menguji kekuatan hati, kepercayaan dan harga dirinya.
Drama adaptasi novel karya Rissa Ahdiya ini diarahkan oleh Eyra Rahman dan dibintangi barisan pelakon berpengalaman serta generasi baharu seperti Ezzanie Jasny, Azhan Rani, Azar Azmi, Ali Reza, Farah Ahmad, Hushairy Hussein dan ramai lagi.
Dengan jalan cerita yang sarat emosi, Bulan Henti Bicara dilihat berpotensi menjadi antara naskhah yang paling hangat diperkatakan tahun ini, sekali gus meneruskan momentum kejayaan slot Megadrama Astro.
Drama 28 episod ini bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria, selain boleh distrim pada bila-bila masa menerusi aplikasi sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.