
Minggu kedua program realiti, Talk To My Manager 2 (TTMM2), menyaksikan tiga pasangan pengurus dan artis iaitu Linda Jasmine & Ratu, Pak Azad & Amarra, serta Adira & Anggrek berada di tangga tiga terbawah.
Pada malam yang penuh debaran itu, Linda Jasmine & Ratu diumumkan sebagai peserta tersingkir selepas memperoleh markah terendah daripada barisan juri, iaitu sebanyak 66.33%.
Namun begitu, pasangan ibu dan anak tersebut akhirnya menarik nafas lega apabila tiada penyingkiran diumumkan, sekali gus menyaksikan kesemua peserta mara ke saingan minggu ketiga TTMM2, Ahad depan.
Bagi pasangan lain di kedudukan bawah, Adira & Anggrek mencatat markah sebanyak 72%, manakala Pak Azad & Amarra memperoleh 66.67% menerusi minggu persaingan yang bertemakan ‘Lepaskanlah’.
Sementara itu, Ani Mayuni & Viviana muncul sebagai peserta dengan markah tertinggi, iaitu 89%.
Kedudukan tersebut diikuti oleh Jamilulhayat & Hussain dengan 84.33%, manakala Safura & Kim Khairii pula meraih 84% sementata Datuk A Aida & Azeva pula mencatat 82%.
Nana Mahazan & Althea meraih 80%, diikuti Datuk Seri Vida & Cik B dengan 77.67%, serta Datuk Fazley & Fariedz yang memperoleh 77.33%.
Program ini dikendalikan oleh pengacara Aznil Nawawi, bersama barisan juri tetap iaitu Datuk AC Mizal dan Sarimah Ibrahim.
Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai secara keseluruhan dengan pecahan markah sebanyak 60% untuk pengurus dan 40% untuk artis.
Saksikan konsert Talk To My Manager 2 setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), yang bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini juga boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini