Pelakon, Zarina Zainuddin yang berdepan ujian apabila salah seorang anaknya, Azal Azrai yang disahkan berdepan masalah saraf pada muka iaitu Bell’s Palsy, tidak akan putus harap untuk terus merawat permata hati istimewanya itu.
Perkara tersebut dikongsikan bintang senior itu menerusi sebuah hantaran di Instagram yang dikemas kini, pada Rabu.
“Saya tetap takkan putus asa merawat Azal dan anak-anak saya yang lain. Segala yang Allah bagi pada saya ini amanah yang besar untuk saya galas.
“Susah sama susah senang sama senang, biar apa pun terjadi saya akur takdir Tuhan,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen menerusi video yang kini sudah pun meraih lebih 8,000 tanda suka itu.
A post shared by Zarina Zainuddin (@zarinazainuddin_)
Terdahulu, Zarina mendedahkan, dia mendapati mata Azal berkedip-kedip tetapi hanya menyangka ia akibat dimasuki habuk, kelmarin.
“Saya tidak fikir apa-apa yang buruk dan beli ubat titis mata. Saya ingat dah okey dan tiada apa-apa. Dalam masa sama saya buat ‘live’ untuk menjual produk.
“Waktu itu pengikut saya yang perasan masalah pada Azal dan minta saya cuba periksa. Katanya, dia rasa Azal mengalami Bell’s Palsy apabila mukanya seperti senget.
“Lepas habis live saya nak tahu betul atau tak dan urut-urut muka Azal untuk pastikan dia boleh pandang atau tidak. Semua yang disuruh buat dia boleh ikut,” katanya, petik Harian Metro.
Zarina menambah, apabila mahu memberi Azal makan malam, dia tidak boleh membuka mulut dengan besar.
“Mulutnya senget. Nak makan kena yang lembut-lembut saja. Dia boleh kunyah tapi sebelah mulut saja. Saya terkejut dan terus tutup gerai jualan dan bergegas ke sebuah pusat perubatan di Johor Bahru malam tadi.
“Doktor kata wad penuh dan bagi suntikan steroid kemudian suruh balik dan pagi ini kena datang semula. Hari ini baru doktor sahkan Azal ada Bell’s Palsy,” katanya lagi.
Lalu, doktor memaklumkan saraf di bahagian telinga Azal mengembang disebabkan virus yang disebarkan dari udara dan tidak akan berjangkit kepada orang lain.
“Katanya ia akan makan masa empat bulan untuk sembuh. Boleh baik tapi kena jaga bagi makan ubat dan buat fisioterapi. Selepas jumpa doktor, kami ke Singapura untuk berniaga. Azal dah makan ubat dan boleh ikut saya tanpa perlu rehat.
“Bagi saya, lagi elok dia bercakap dan bergerak agar dia aktif dan jangan lemah. Kena buat aktiviti macam biasa. Cuma kena berjumpa semula dengan fisioterapi dan bagi makan ubat,” katanya.
Dalam pada itu, Zarina akui apa yang berlaku sebagai ujian memandangkan sebelum ini anak ketiganya, Naim disahkan memiliki satu buah pinggang.
“Kalau nak ‘down’ sekejap boleh, tapi kena bangun semula. Tak boleh nak lama-lama kerana kita kena buat sesuatu untuk masa depan anak-anak, tak boleh harapkan orang.
“Bagi saya hidup mesti diteruskan. Tak boleh fikir benda-benda ini akan halang kerja-kerja kat luar kerana apapun kena lalui benda-benda ini.
“Apapun berlaku, saya tak boleh harap orang lain untuk kendali gerai kerana bukan murah saya bayar kos sewa,” katanya yang mula berniaga di Singapura sejak Isnin lalu dan berakhir Ahad ini.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!