“Tiada Penyanyi Nak Buat Persembahan Yang Teruk, Mesti Nak Buatkan Yang Terbaik,” – Berdebar Itu Pasti Ada, Ini Kongsi Dayang Nurfaizah

Penyanyi, Dayang Nurfaizah mengakui untuk menyanyi di atas pentas berskala besar bukan satu perkara mudah, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pertandingan nyanyian.

Jelas Dayang, setiap penyanyi yang membuat persembahan juga pastinya mahu memberikan yang terbaik dalam persembahan seumpamanya.

“Sebenarnya setiap penyanyi yang berada di atas pentas, kita patut memberikan penghormatan kepada mereka sebab berada untuk berada di atas pentas berskala besar bukan satu perkara yang mudah.

“Malah kalaulah ia persembahan yang memerlukan mereka untuk bertanding misalnya, bagi Dayang sudah mestinya rasa berdebar itu akan ada.

IKLAN

“Tiada penyanyi yang nak buat persembahan yang teruk, setiap penyanyi mesti nak buatkan yang terbaik. Tapi kadang-kadang bila kita gementar mungkin, macam-macam boleh jadi,” katanya kepada MH.

Penyanyi kelahiran Sarawak ini turut menasihati kepada warganet untuk tidak mudah memberikan komen negatif kepada penyanyi yang pernah membuat kesilapan di atas pentas ke menyanyi.

“Jadi bagi Dayang, kita jangan cepat menghukum atau memberikan komen negatif kepada orang lain. Kita tak tahu apa yang dia lalui dan untuk kita buat persembahan yang hebat sangat susah.

“Dayang sendiri pun setiap kali buat persembahan memang rasa wujud rasa gementar sangat dan kalau boleh tak nak buat salah satu pun. Tapi kita hanya merancang, sebab apa-apa pun boleh terjadi dekat atas pentas tu.

IKLAN

“Jadi Dayang harap, tidak mudah memberikan komen yang tidak sepatutnya sebab Dayang tahu setiap penyanyi itu sudah beusaha sebaik mungkin,” akhiri Dayang yang pernah beberapa kali mengungguli trofi Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL).

Penyanyi berusia 39 tahun ini ditemui sejurus terlibat pada malam kemuncak Konsert Digital Jelajah Suria di Warisan Hall Studio, Teluk Panglima Garang, Selangor pada malam Rabu.

Konsert tersebut turut dipancarkan secara maya di semua platform Suria.