Berita

“Tersinggung Itu Tidak, Tapi…,” – Sharmaine Alexander Dedah Perjuangan Lawan Psoriasis Sampai 2 Bulan Tak Keluar, Hargai Dedikasi Fasha Sandha

Share

Pelakon Sharmaine Alexander menegaskan perkongsian mengenai keadaan wajahnya di media sosial bukan bertujuan untuk meraih simpati daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya, pelakon meningkat naik itu berkata, dia hanya mahu memperbetulkan dakwaan tidak benar yang tular mengenai dirinya.

Sharmaine menambah, pada awalnya dia tidak bercadang untuk memberikan sebarang penjelasan.

Namun, dia akhirnya mengambil keputusan untuk bersuara bagi mengelakkan salah faham terus berpanjangan.

Hanya Mahu Perbetulkan Persepsi

Pelakon drama Kasih Yang Terkorban itu memaklumkan dia tidak berasa tersinggung dengan komen yang diterima.

Bagaimanapun, dia mengakui berasa situasi itu tidak adil apabila orang ramai membuat andaian tanpa mengetahui perkara sebenar.

 Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/ya-tuhan-fitnah-sharmaine-alexender-nafi-buat-face-filler-wajah-berubah-sebab-kesan-ubat-psoriasis/

“Tersinggung itu tidak, tapi saya rasa benda itu tak adil untuk saya.

“Bila orang tengok dekat televisyen, terus cakap saya buat ‘filler’, buat itu ini… Sedangkan mereka tak tahu apa yang saya lalui.

“Itu lebih kepada saya cuba menjelaskan diri saya, walaupun sebenarnya saya tak perlu pun buat begitu.

“Ini juga mungkin kali pertama dan terakhir saya akan jelaskan tentang penampilan saya,” katanya.

Sharmaine turut mendedahkan dia sebenarnya sudah lama berdepan dengan komen negatif sejak menyertai pertandingan Dewi Remaja.

Cuma menurutnya, kecaman kali ini lebih keterlaluan kerana dia kini mula dikenali menerusi televisyen.

“Sejak Dewi Remaja lagi, saya sudah biasa terdedah dengan komen-komen macam ini.

“Cuma kali ini sedikit melampau, mungkin sebab saya dah mula muncul di TV. Itu yang saya rasa agak berbeza daripada sebelum ini,” katanya lagi.

Dedah Hidap Psoriasis, Hargai Sokongan Fasha Sandha

Lebih menyentuh hati, Sharmaine berkongsi pengalaman sukar apabila berdepan penyakit psoriasis yang bukan sahaja menjejaskan keadaan kulitnya.

Malah ia turut memberi kesan besar terhadap emosi dan kehidupan hariannya ketika masih bergelar pelajar jurusan undang-undang.

“Yang paling teruk, saya tak keluar rumah selama dua bulan.

“Mak saya hari-hari merayu saya untuk keluar. Waktu itu saya masih lagi tahun ketiga di universiti.

“Saya tak nak sambung apa-apa, tak nak keluar, tak nak makan, memang tak nak buat apa-apa langsung.

“Jadi bila orang cakap ‘struggle’ saya yang macam itu hanyalah sebab prosedur kosmetik, bagi saya itu sangat tidak adil,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sharmaine turut mengulas mengenai tindakan aktres Fasha Sandha yang tampil mempertahankannya di media sosial.

Menurutnya, dia melihat tindakan tersebut sebagai satu bentuk sokongan yang amat bermakna, lebih-lebih lagi kerana dirinya masih baharu dalam industri seni.

“Saya rasa Fasha keluarkan ‘statement’ itu semata-mata untuk pertahankan saya.

“Saya masih baru dalam industri, jadi mungkin kalau dia tak buat posting itu, orang akan terus buli saya atau bercakap macam-macam tentang rupa saya. Bagi saya, dia memang menyokong saya,” akhirinya.

Terdahulu, nama Sharmaine menjadi perhatian menerusi drama Kasih Yang Terkorban yang turut dibintangi Fasha Sandha.

Penampilannya sebagai watak anak kepada Fasha menerusi drama tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza