
Bersempena sambutan Hari Bapa, penyanyi yang juga pempengaruh dan pencipta lagu, Luqman Podolski tampil dengan karya terbaharu berjudul Ayah, hasil ciptaan komposer Kim Manul dan diterbitkan di bawah label Sony Music Malaysia.
Berbeza dengan kebanyakan lagu bertemakan ayah yang sering menonjolkan pengorbanan, kasih sayang serta kemuliaan seorang bapa, Ayah hadir dengan pendekatan lebih berani apabila mengangkat realiti kehidupan yang jarang diperkatakan.
Lagu ini mengetengahkan pengalaman serta kesan emosi yang boleh ditinggalkan oleh seorang ayah yang gagal memainkan peranan sewajarnya dalam sesebuah keluarga.
Menurut Luqman, karya tersebut dihasilkan sebagai refleksi kepada realiti yang dialami oleh sebahagian masyarakat.
Walaupun tema yang diketengahkan mungkin dianggap sensitif, hakikatnya ia merupakan kisah yang benar-benar wujud dan memberi kesan mendalam kepada ramai individu.
“Tidak semua orang mempunyai pengalaman indah bersama ayah mereka. Ada yang membesar dengan luka, kekecewaan dan kenangan yang sukar dilupakan.
“Lagu ini bukan bertujuan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi memberi ruang kepada mereka yang pernah melalui pengalaman tersebut untuk merasa didengari,” katanya.
Dalam dunia seni, sesebuah karya tidak seharusnya terhad kepada kisah-kisah bahagia atau mesej positif semata-mata.
Sebaliknya, seni juga berfungsi sebagai medium untuk merakam realiti kehidupan, termasuk konflik emosi, cabaran keluarga dan pengalaman pahit yang membentuk perjalanan hidup seseorang.
Pendekatan sebegini bukanlah sesuatu yang asing dalam industri muzik antarabangsa.
Ramai seniman terkenal dunia, khususnya dalam genre hip hop dan rap, sering menggunakan karya mereka sebagai wadah meluahkan perasaan, berkongsi pengalaman hidup serta membincangkan isu sosial yang jarang diketengahkan secara terbuka.
Baca Artikel Lain;
Menerusi Ayah, Luqman Podolski bukan sekadar mempersembahkan sebuah lagu, malah membuka ruang dialog mengenai isu kekeluargaan yang sering dipendam dan tidak dibicarakan secara meluas.
Karya ini membuktikan bahawa muzik bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, malah mampu menjadi cerminan kehidupan serta suara kepada mereka yang pernah melalui pengalaman yang sama.
Single Ayah terbitan Sony Music Malaysia kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.
Terdahulu, Luqman mula mencipta nama dalam industri hiburan menerusi platform media sosial sebelum mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan.
Sebagai penyanyi, dia telah menghasilkan beberapa karya yang mendapat perhatian ramai antaranya Sorang(single debut), Kembar, Kalau Kau Rindu, Jap Itu Jap Ini (bersama Sabbala), Cahaya dan terbaharu, Ayah.
Sementara dalam bidang lakonan pula, Luqman membuat kemunculan menerusi filem Sekolahaha, sekali gus memperlihatkan versatilitinya sebagai seorang penghibur.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.