Pelakon terkenal, Scha Al-Yahya enggan mempedulikan tanggapan segelintir pihak yang kurang senang dengan kelantangannya untuk menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin di media sosial.
Menurut Scha, sebagai seorang yang beragama Islam, dia harus memanfaatkan pengaruhnya untuk membangkitkan kesedaran dan mengecam tindakan pihak Israel.
“Saya tahu ada sesetengah pihak yang menganggap hal ini sebagai isu yang sangat sensitif. Namun, sebagai rakyat Malaysia dan beragama Islam. Pegangan kita kuat.
“Kalau ada pihak lain yang tidak senang dengan kelantangan saya, itu masalah mereka.
“Sebagai rakyat di negara muslim, kenapa saya nak kena takut dengan suara-suara pihak luar yang mengkritik tindakkan saya itu,” katanya kepada MH.
Isteri kepada pengacara terkenal, Awal Ashaari itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Hero Dewi Remaja 2023 yang berlangsung di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.
Pada masa sama, Scha turut memaklumkan dirinya lebih selesa menunjukkan sokongan dengan cara yang tegas tetapi tidak biadap.
“Saya memang ada banyak berkerjasama dengan jenama-jenama antarabangsa yang kita pun tahu mereka di pihak mana.
“Namun, bagaimana cara kita menyatakan sokongan juga sangat penting. Kita boleh menunjukkan sokongan tapi jangan pula kita menghentam orang lain dengan bahasa yang kasar atau malampau.
“Kita kena tahu bagaimana untuk menyusun kata. Memang ada pihak yang akan mempersoal adakah tindakan kita ini boleh membuat perubahan.
“Memang boleh. Kalau semua bersuara, kita boleh menjadi satu kumpulan yang sangat kuat. Buat sahaja apa yang kita rasa betul,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, ibu kepada dua orang cahaya mata ini tetap faham ada sesetengah jenama antarabangsa yang terpaksa meneruskan kempen promosi kerana ingin mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Ada jenama yang tahu isu ini sensitif dan ada juga yang mungkin terlupa. Ada diantara mereka yang tetap memberikan tarikh untuk saya memuat naik posting di media sosial.
“Jadi, saya bagitahu mereka yang ketika ini, saya kurang selesa dengan apa yang sedang terjadi. Saya cadangkan untuk memilih waktu yang lebih sesuai.
“Sangat penting untuk saya berkomunikasi dengan wakil mereka. Mereka sebenarnya faham situasi itu. Kita kena bijak dan jangan ikut sahaja apa yang mereka mahukan. Kena fikirkan juga kesannya.
“Mereka juga ada jemput untuk menghadiri majlis tetapi saya tolak dengan baik. Mereka sebenarnya bukan tak sensitif tetapi mereka sudah punyai jadual yang perlu diikut. Sebagai selebriti, kita ada pilihan,” akhirinya.
Terdahulu, Scha telah diperkenalkan selaku hos merangkap mentor dan juri Hero Dewi Remaja 2023.
Rakaman program ini akan bersiaran selama tujuh episod setiap Jumaat bermula 10 November ini jam 10 malam menerusi saluran Astro Ria dan Astro Go.
Manakala episod kemuncak minggu ke-8 pula bakal bersiaran secara langsung pada 30 Disember depan.
Pengajuran pencarian bakat Hero Dewi Remaja 2023 ini merupakan sebuah lagi kerjasama strategik di antara Astro menerusi saluran Astro Ria dan Nu Ideaktiv Sdn. Bhd.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI