Hiburan

Syed Saddiq Kekal Bebas, Bella Astillah Syukur & Bahagia – “Beliau Seorang Yang Jujur, Baik & Amanah.”

Share

Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah meluahkan rasa syukur selepas tunangnya yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Persekutuan daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Menurut Bella, kebahagiaan itu turut didedikasikan buat kedua-dua ibu bapa tunangnya yang selama ini terpaksa melalui detik sukar susulan kes mahkamah berprofil tinggi yang dihadapi anak mereka.

Lega Melihat Keluarga Kembali Tersenyum

“Syukur Alhamdulillah, saya sangat bahagia. Perkara yang paling buat saya lega dan tenang bila saya tahu mama dan abuya akan gembira dan tidak susah hati lagi,” katanya kepada MH.

Bella berkata demikian ketika ditemui selepas tamat prosiding rayuan akhir Syed Saddiq di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin.

Kejujuran Jadi Asas Kesetiaan

Dalam masa sama, ibu kepada dua cahaya mata ini turut menjelaskan sebab dia memilih untuk terus setia bersama Syed Saddiq meskipun ahli politik itu berdepan kes mahkamah sejak awal perkenalan mereka.

“Hal yang paling utama adalah apabila saya melihat cara beliau melayan dan menjaga kedua orang tuanya dan keluarga. Itu yang paling penting.

“Beliau juga seorang yang sangat jujur, baik dan amanah selama perkenalan kami,” kongsinya lagi.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Terdahulu, mahkamah memutuskan Syed Saddiq kekal dibebaskan daripada sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) enam tahun lalu.

Keputusan majoriti 2-1 itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama dua lagi Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Che Mohd Ruzima dan Collin membentuk keputusan majoriti, manakala Abu Bakar menyampaikan penghakiman berbeza.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf