Konsert Satu Suara Vol.3 yang berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur pada malam Sabtu ternyata meninggalkan 1001 kepuasan buat 4,000 peminat setia Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Selain Siti, konsert amal itu turut dijayakan dua penyanyi yang datang dari era berbeza iaitu vokalis kumpulan Carefree, Jay Jay dan Ernie Zakri.

Usai ditemui sebaik selepas menjayakan persembahan, Siti berkata dia sangat terharu dengan sambutan yang diberikan malah berterima kasih kepada semua pihak yang membeli tiket sekaligus memberikan sumbangan bagi meneruskan kerja kebajikan Yayasan Nurjiwa yang diasaskan olehnya bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

“Alhamdulillah apa yang digambarkan saya untuk konsert ini akhirnya dapat diterjemahkan dengan baik.

“Bukan sahaja daripada segi pemilihan penyanyi malah pemuzik pun kita titikberatkan agar dapat memberikan yang terbaik untuk konsert amal ini.

“Kalau tengok, memang ada banyak visual (video) mengenai aktiviti yayasan, sebab saya nnak orang tahu yang konsert ini bertujuan untuk mengumpul dana dan saya sangat berterima kasih termasuk kepada syarikat korporat yang turut sama menyumbang,” katanya kepada MH.

Ketika ditanya mengenai jualan tiket yang dikatakan agak perlahan, Siti menjelaskan dia sedia maklum mengenai hal itu namun percaya ia bakal sold out menjelang konsert tersebut.

IKLAN

Siti Nurhaliza Gembira Konsert Satu Suara Vol. 3 Full House, Turut ‘Payung’ Lagu Baru

“Saya memang dah agak sebenarnya sebab saya faham juga ramai yang masih beraya, buat persiapan untuk raya.

“Tapi saya percaya tiket last minit orang akan beli juga dan memang terbukti pun. Alhamdulillah full house untuk malam ini.

“Kita pun ada kelebihan abang Jay Jay malam ini, kita dapat tengok legend perform.. (aura) legend ni lain sikit.

“Selain Ernie yang memang kita tahu kekuatan vokal dia serta mempunyai kelompok peminat yang ramai,” kata Siti lagi.

IKLAN

Dalam konsert yang berlangsung hampir dua jam itu, pelbagai seleksi lagu dipersembahkan oleh ketiga-tiga penyanyi tersebut antaranya Jay Jay mengimbau semula kenangan dengan lagu-lagu popular Carefree seperti Belaian Jiwa, Dendangan Laguku dan Rindu Bayangan yang membuatkan satu arena gempita dengan nyanyian ‘sing along’ daripada penonton.

Ernie pula mempamerkan kemantapan vokal dengan lagu-lagu hitnya seperti Boneka, Ku Bersuara dan Korban.

Siti Nurhaliza Gembira Konsert Satu Suara Vol. 3 Full House, Turut ‘Payung’ Lagu Baru

Menariknya, menerusi konsert ini, Siti secara eksklusif buat pertama kalinya menyanyikan single terbaharunya berjudul, Sehebat Matahari.

IKLAN

Lagu ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Rozi Razak itu akan dikepilkan dalam album terbaharunya yang bakal diluncurkan pada hujung tahun ini.

Selain Sehebat Matahari, Siti turut mendendangkan lagu Kesilapanku Keegooanmu, Wajah Kekasih serta Siti Situ Sana Sini.

Menutup tirai konsert, ketiga-tiga mereka kemudian bergabung menghadiahkan peminat dengan alunan lagu raya, Hari Raya Bahagia dan Nazam Lebaran.

Konsert Satu Suara Vol. 3 ini dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI