Bekas pelakon dan usahawan, Ben Ali yang kini merupakan pengarah Absolut Brands Sdn Bhd mengakui bukan satu yang yang mudah untuk berada di tahap sekarang.
Gembira dalam syukur, bekas finalis Hero Remaja sezaman Fattah Amin ini juga tidak menyangka, bermula dari pondok rehat yang terletak di perumahan awam Sri Sabah, Cheras, kini perniagaan Absolut Chocolat mampu memiliki kilang sendiri di Taman Perindustrian Bukit Serdang.
Kilang di bawah nama Absolut Brands Sdn Bhd berkeluasan 14,000 kaki persegi itu menjalankan operasi perniagaan Absolut Chocolat, selain memayungi dua lagi jenama lain iaitu Absolut Food Festival dan Absolut Talent & Management.
“Saya mengemudi perniagaan ini bersama isteri, Nadiyah Shahab. Kami berdua melalui suka duka, turun naik. Tapi semua itu jadi kenangan dan pengalaman berharga.
“Bayangkan di pondok rehat perumahan awam itu segala operasi dan urusan dilaksanakan. Di situlah kami membungkus kek ke dalam kotak beserta sos. Sukar dibayangkan memori itu, namun rezeki tak pernah salah alamat.
“Pendek kata macam macam lagilah segala kerja saya dan isteri buat. Malah kami pada awalan pernah melakukan khidmat penghantaran kepada pelanggan,” katanya
Menurut Ben atau nama sebenarnya, Nurali Nadzwan, 30, turut mengimbas, selepas beberapa hari ‘menumpang’ pondok berkenaan, mereka kemudiannya berpindah ke khemah menjual air kelapa.
“Selepas dua tiga minggu menumpang di khemah itu, kami menyewa pula suku lot berdekatan LRT Cheras.
“Dalam tahun 2018, memang kami kerap ‘berpindah randah’ dari satu tempat ke tempat lain. Kemudian kami bertukar ke Medan Connaught Cheras hujung tahun sama. Kami menyewa satu lot premis yang dibahagi dua bahagian
“Bahagian depan dijadikan pejabat, manakala belakang pula sebagai tempat pembungkusan kek dan penghantaran. Apabila perniagaan semakin berkembang kami menyewa pula satu lagi lot di bahagian bawah bangunan sama. Ketika itu lot atas dijadikan ruang pejabat dan bawah pula urusan kerja,” kata Ben.
Menurut Ben, dia bersyukur perniagaan mereka yang berasaskan F&B (Food and Beverages) dan dalam talian masih ‘bernafas’ ketika pandemik COVID-19 melanda sejak Mac tahun lalu.
Lalu pada 18 Februari, genap tiga tahun penubunan jenama itu dan mereka kini berpindah ke kilang yang lebih praktikal dan kondusif.
Ben pada masa sama menambah, dia berharap tahun 2021 penuh mencabar ini akan terus memberi sinar kepada jenama perniagaannya.
“Banyak lagi yang ingin kami kecapi. Cita cita kami sendiri mahu membawa jenama ini ke peringkat antarabangsa.
“Kami takkan berada di seni tanpa sokongan pelanggan tersayang. Terima kasih kerana terus setia menyokong kami hingga kini,” alhirinya.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI