Pengacara dan pelakon, Awal Ashaari memaklumkan dia dan isteri, Scha Alyahya sepakat menghantar anak kedua mereka, Lila Amina ke sekolah (play school) seawal usia dua tahun.
Menurut Awal, mereka berbuat demikian kerana mahu anak-anak terdedah kepada sistem pengajian dari peringkat awal.
“Setiap pagi sekarang, Lila sudah tahu bila nak ke sekolah, dia akan cakap ‘bye’ nak pergi sekolah. Sebab cara kami, memang mahu perkenalkan persekitaran pembelajaran itu lebih awal kepada anak-anak.
“Malah sekarang pun Lila sudah pandai mengira satu hingga sepuluh. Sebab kalaulah dia hanya duduk di rumah, mungkin situasi itu lambat berlaku memandangkan jadual kerja saya dan Scha pun tidak menentu,” katanya kepada MH.
Ads
Awal menambah, niatnya sebagai bapa hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak.
“Cuma bila kita hantarnya ke sekolah, minggu pertama dia ada menangis. Kemudian sudah boleh menerima dengan rutin tersebut.
“Pihak sekolah pun memaklumkan aktiviti anak-anak sepanjang kelas. Apa aktiviti yang mereka belajar dan sebagainya.
Ads
“Balik rumah, kita pun bertanya makan, belajar apa di sekolah hari ini contohnya dan Lila mampu beri jawapan yang betul berdasarkan video yang dikongsikan pihak sekolah.
“Jadi daripada situ kita nampak dia sudah mampu bercerita dan berkongsi apa yang dilakukan di sekolah. Skil begitulah yang saya dan Scha fikir… kalaulah dia duduk di rumah mungkin hanya tengok TV saja. Pembantu rumah pula sibuk uruskan kediaman.
“Jadi itu antara sebab kami buat keputusan untuk menghantar mereka ke sekolah. Sekurang-kurangnya ada akitiviti bermanfaat yang boleh dilakukan selain melatih dia untuk berkomunikasi, bergaul dengan rakan sebaya dan sebagainya.
Ads
“Malah kami sendiri pun memang akan isi masa bersama anak-anak untuk mengetahui dan teman mereka buat kerja sekolah dan sebagainya. Setakat ini semuanya berjalan dengan baik,” katanya lagi.
Awal dan Scha mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 dan dikurniakan dua orang puteri iaitu Lara Alana, 9, dan Lyla Amina. 2.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Impian pelakon Hafiz Nafiah untuk berada di kerusi pengarah akhirnya jadi kenyataan apabila tampil dengan filem genre komedi berjudul Mat Kola selepas hampir 20 tahun menanti.
Hafiz atau nama sebenar, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, filem Mat Kola terbitan AA Success Pictures Sdn Bhd itu cukup bermakna kerana sudah lama menanti peluang mengarah filem pertama.
“Saya bersyukur diberi peluang dan kepercayaan mengarah filem Mat Kola daripada penerbit, Azman Ahmad. Kami sudah kenal sejak 20 tahun lalu.
“Azman mencadangkan nama saya sebagai pengarah kepada Penerbit Eksekutif, Mahamad Pozi Mansor atau Abang Chot.
“Idea asal filem Mat Kola adalah dari Azman, tetapi penulis skripnya adalah Pijon yang memang sudah biasa menulis cerita dialek utara (Kedah),” katanya.
Ditanya kenapa mengambil masa yang lama untuk mengarah, kata Hafiz, dia mahu menimba ilmu dalam dunia belakang tabir produksi sebelum bersedia di kerusi pengarahan.
“Berbekalkan pengalaman luas sedia ada, barulah saya bersedia untuk menggalas kerusi pengarah. Saya percaya tidak semua orang akan dapat peluang keemasan itu.
“Saya juga sudah lama sedia untuk mengarah drama, tetapi tawaran yang datang adalah projek filem dulu.
“Saya harap filem Mat Kola akan menjadi titik permulaan untuk membuktikan kerjaya saya sebagai pengarah,” katanya.
Bercerita pembabitan awalnya dalam bidang seni, kata Hafiz, dia mula memasuki bidang seni sebagai penyanyi nasyid ketika masih menuntut di tingkatan empat.
“Selepas tamat persekolahan, saya mula bekerja dengan kumpulan nasyid popular Rabbani selama dua tahun.
“Ketika Rabbani bernaung di bawah KRU, saya juga sertai sebagai pegawai perhubungan awam kepada Kumpulan Phyne Ballerz.
“Selepas itu, saya mula pergi uji bakat di Metrowealth (MIG) dan dapat tawaran watak ekstra dalam filem Kuliah Cinta arahan pengarah, Prof Madya Datuk A Razak Mohaideen pada 2004,” katanya.
Bermula dari situ, kata Hafiz, dia ditawarkan bekerja sebagai kru belakang tabir milik produksi A Razak.
“Saya bermula sebagai ‘runner’, pembantu produksi, ‘handyman’, pengurus produksi dan konti termasuklah terbabit dalam kumpulan teknikal dalam pelbagai jawatan sehinggalah diberi peluang menjadi penolong pengarah.
“Saya dapat memegang jawatan penolong pengarah dalam filem A Razak. Antaranya, filem lakonan Datuk Aznil Nawawi dan Nasha Aziz,” kata pelakon filem Dunia Baru The Movie itu yang sudah hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan itu.
Selaku penerbit penyelaras, pengarah dan lakon layar filem Mat Kola, kata Hafiz, nama Mat Kola dipilih kerana filem ini menceritakan tiga anak jati Kuala Kedah iaitu Mat Ki (Usop Mentor), Mat Yon (Azman Ahmad) dan Mat Not (Taiyuddin Bakar).
“Penggambaran filem membabitkan kos mencecah RM1 juta ini berlangsung pada Oktober 2021 dalam tempoh hampir tiga minggu.
“Filem ini mengambil masa selama dua tahun untuk ditayangkan kerana banyak kekangan seperti proses suntingan, bahagian teknikal dan sebagainya,” katanya.
Berkongsi jalan cerita pula, kata Hafiz, dia mahu menghasilkan filem yang mudah difahami dan menghiburkan penonton.
“Jalan cerita filem ini santai mengenai kisah peniaga burger dan semoga ia boleh menaikkan semangat mereka untuk terus berniaga. Itu adalah plot utama dan dibantu sub plot lain.
“Saya akui bukan mudah untuk mengarah genre komedi kerana saya juga baca skrip berulang kali dan merombaknya banyak kali sebelum saya imaginasikan dan beri penerangan pada pelakon,” katanya.
Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Rozita Che Wan (Che Som) Ropie (Pak Sheikh), Putri Hanan (Maliah), Fendi London (Bang Lah), Mohd Hafeezul Yop (Joe Klipop), Abang Gee (Abang Gee), Zainon Ismail (Bang Non), Suhaili Che Rus (Zali),Cikgu Akop (Pak Hashim) dan Pak Abang (Badrul).
“Rata-rata pelakon dari Kedah dan mereka tiada masalah untuk dialek utara serta semuanya kelakar,” katanya.
Ditanya cabaran ketika penggambaran pula, kata Hafiz, dia berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di Kedah di mana hujan turun dari pagi hingga petang.
“Baru nak ‘shoot’ hujan turun dengan lebatnya hingga kami terpaksa tukar ‘screen play’. Contohnya, terpaksa tukar babak Che Som pakai payung untuk disesuaikan dengan keadaan cuaca ketika itu.
“Bagaimanapun, Tuhan permudahkan sepanjang penggambaran filem ini. Selain mengarah, saya juga sebagai Penerbit Penyelaras dan buat sehabis baik untuk mengawal bajet sedia ada,” katanya.
Mat Kola bakal ditayangkan di 65 pawagam seluruh tanah air bermula 21 September ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Barisan artis terkenal seperti Ernie Zakri, Syamel, Nuha Bahrin dan Naufal Azrin bakal membuat persembahan di Ekspo Ijab Qabul 2023 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam bermula 22 hingga 24 September ini dari 10 pagi hingga 10 malam.
Acara turut dimeriahkan dengan Kugiran Kamila Akustika selain persembahan silat, gamelan dan tarian cilik Arcisa Girls, demonstrasi solekan serta gubahan bunga dan hantaran.
Diasas dan diterajui pasangan adik beradik lelaki, Shamsul Azhar Amir Hashim dan Khairul Anwar Amir Hashim, ekspo perkahwinan popularitu dianjurkan buat kali ketiga.
Ekspo yang menghimpunkan vendor kerja kahwin untuk bakal raja sehari itu turut menjanjikan hadiah mega dan cabutan bertuah untuk dimenangi buat bakal pengunjung.
Menurut Shamsul Azhar, seiring dengan tagline penganjuran acara iaitu ‘Ekspo Kahwin Paling Best” dan “All Your Wedding Needs, Under One Roof”pihaknya optimis dengan aturcara diatur selain tawaran hadiah istimewa.
“Untuk meraikan pengunjung dan bakal pengantin bertuah nanti, kami tawarkan hadiah utama pakej nikah percuma di Magica Suite tajaan Magica Events termasuk makan dan minum untuk 50 orang bernilai RM3,000.
“Tak hanya itu, pemenang utama juga bakal menerima pakej umrah percuma untuk seorang tajaan Zuhud Holiday bernilai RM8,390.
“Selain itu, agensi kembara sama turut menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa diskaun pakej umrah sebanyak RM1,000 untuk seorang dan RM500 bagi dua orang.
“Tak ketinggalan pakej percutian dari Golden Fly Venture pula berbesar hati menghadiahkan hotel percutian di Bali, Indonesia, Melaka dan Terengganu dan pelbagai lagi hadiah menarik dari vendor-vendor Ijab Qabul menanti anda” kata Shamsul Azhar.
Ekspo Ijab Qabul 2023 yang dikelola syarikat Nightbloom Events milik dua beradik berkenaan turut bakal dihiasi 100 tapak atau kios vendor perkahwinan ini juga sarat dengan aktiviti seni.
“Seperti kelazimannya majlis kahwin tak lengkap dengan persembahan hiburan. Sebab itu kami lengkapkan acara ini dengan pembabitan artis dan pekerja seni. Selain buat persembahan, artis juga akan ada sesi ‘meet and greet’ bersama pengunjung serta peminat.
“Malah aktiviti sepanjang tiga hari ekspo nanti itu turut dipadatkan dengan pelbagai aktiviti. Ia termasuk forum perkahwinan bertajuk Cinta Yang Direstui dikendali oleh pasangan pendakwah Ustaz Fakaruddeen dan Ustazah Asmak Husin pada hari pertama pembukaan ekspo.
“Tahun ini juga kami perkenalkan pereka fesyen terkenal, Kashfi Zulkufli sebagai duta Ekspo Ijab Qabul. Malah serentak dengan itu, Kashfi Zulkufli juga bakal mempersembahkan pertunjukan fesyen ‘The Lost Maharani Volume 2’,” kata Shamsul Azhar.
Kata Shamsul Azhar lagi, kemasukan ke ekspo ini tidak dikenakan bayaran. Malah katanya lagi, parkir kereta juga percuma.
“Sebagai ekspo perkahwinan, kami menghimpunkan vendor dari pelbagai sudut kelengkapan kahwin termasuk hotel, dewan kahwin, dekorasi pelamin, busana pengantin, perancang perkahwinan, katering, barang kemas, kad kahwin, ‘doorgift’, hantaran dan gubahan bunga.
“Begitu juga dengan perkhidmatan foto dan video kahwin untuk mengabadikan detik hari bahagia, pakej bulan madu dan pelbagai lagi. Jadi kalau nak mudahkan kerja mengurus dan merancang perkahwinan serta berjimat, kenalah datang ke ekspo ini.
“Semuanya dalam satu tempat. Lapan kendera saji juga disediakan di luar dewan ekspo untuk mengisi perut dan menghilangkan haus. 1000 pengunjung terawal juga bakal mendapatcenderahati percuma,” katanya lagi.
Terdahulu, acara ini turut mendapat sokongan dekorasi utama, Ellysia, Suke TV (penyiar rasmi), Picturesque Production, Rose Katering, Magica Events dan JV Craft & Gifts.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi terkenal, Liza Hanim akui terkilan dengan sikap pemilik akaun Instagram, @jab_netizen yang keterlaluan mengkritik fizikal dan rupa parasnya.
Individu berkenaan telah meninggalkan komen tersebut di sebuah hantaran video yang dikongsikan di laman Instagram Media Hiburan awal pagi tadi.
Menurut Liza, walau bagaimanapun tanggapan orang luar mengenai rupa parasnya, namun, dia tetap bersyukur dengan segala kurniaan Allah terhadap dirinya.
“Bukan sentap, bukan. Tetapi perlu bercakap mengenai perkara ini. Kenapa orang tak cantik memang tak boleh menang apa-apa ke di Malaysia or international?
“Orang yang tak putih hidung tak mancung memang tak boleh ke berjaya di Malaysia ni? Yer betul akak sedar dan akak sangat bersyukur dengan apa yang Allah SWT telah kurniakan pada akak.
“Selagi saya gembira bersama keluarga, saya tak kisah la semua cantik buruk ke akak ni bagi standard manusia.
“Allah kurniakan bakat untuk akak boleh menyanyi tapi akak tak ada rupa paras yang mana semua mahukan. Putih cantik gebu mancung semua tu tapi akak tetap bersyukur,” tulisnya menerusi sebuah hantaran di Instagram pada Isnin.
Katanya lagi, kata-kata cacian tersebut tidak akan sesekali mematahkan semangatnya untuk terus berjuang di dalam industri seni.
“Tergamak nak bagi comment macam ni, berkali kali pulak tu, why? Motif? Kekadang bahasa kata tu lagi penting dari rupa paras tau.
“Akak tak goyang dengan cacian kutukan kritikan sesiapa tapi budaya sekarang agak melampau. Kadang-kasang akak tertanya juga rupa orang yang tulis ni macam mana la agaknya?
“Ini merupakan tahun ke 26 saya di dalam industri ini. Pelbagai dah yang akak lalui dan hadapi,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Gelisah Mimpi ini juga menyeru kepada semua pihak yang senasib dengannya untuk terus bangkit dan memperjuangkan mimpi mereka.
“Jadi, benda kutukan secara halus mu ni tak goyangkan akak dik tapi aku sedih, awak tak bertimbang rasa dan tak sensitif.
“Posting ni utk semua yang pernah kena kutukan macam akak untuk kita bangkit, terus kuat dan buat sahaja semua perkara yang buatkan kita gembira untuk diri sendiri dan keluarga.
“Bersyukur kepada Allah SWT atas segala kurnianya,” katanya lagi.
Hantaran tersebut turut mendapat respon daripada rakan selebriti yang juga merupakan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Jelas Siti, komen tersebut sememangnya melampau dan secara tidak lansung telah mencerminkan keperibadian pemilik akaun Instagram berkenaan.
“Tulisan daripada @jab_netizen jelas menunjukkan keperibadiannya yang tidak baik dan hati yang hitam. Jangan menyentuh soal fizikal, sebab semu orang tidak sempurna. Kesal dengan kelantangan netizen yang konon pandai menilai tapi sebenarnya menyerlahkan lagi kebodohannya.
“Kakak sayang, Liza Hanim, teruskanlah perjuangan kerana setiap pengorbanan dan kesungguhan, Allah SWT janjikan kejayaan!! Inilah masanya. Semoga Allah SWT permudahkan segalanya buatmu, kak,” tulisnya.
Selain Siti, antara selebriti lain yang turut menunjukkan sokongan terhadap Liza antaranya, pelakon, Azira Syafinaz, Aishah Retno dan Nad Zainal.
Sehingga kini, hantaran tersebut telah dihujani ribuan komen.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & kredit foto: Instagram Liza Hanim & Siti Nurhaliza
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon dan usahawan, Memey Suhaiza percaya setiap perkara yang berlaku dalam hidup pasti terselit hikmah, meskipun ada kalanya perlu berdepan pelbagai ujian dan cabaran.