Selamat Tinggal Sridevi, Ini Antara 10 Fakta Mengenai Superstar Hebat India Ini…

Berita kematian ikon perfileman India, Sridevi dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Dubai pada Sabtu ketika menghadiri majlis perkahwinan salah seorang ahli keluarganya begitu mengejutkan ramai. Malah, rata-rata penggiat seni seluruh dunia merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang. Malah, kematiannya juga turut diratapi sebilangan besar para peminat.

Dikenali sebagai salah seorang ikon filem Bollywood kerana barisan filem hebat yang telah dilakonkannya, Sridevi turut dilabel sebagai antara pelakon prolifik yang pandai menari dan cukup sinonim menerusi menerusi perfileman Bollywood, Telegu, Tamil, Malayalam dan Kannada.

Ikuti 10 trivia lain mengenai bintang nan satu ini…

Sridevi  atau nama lengkapnya, Shree Amma Yanger Ayyapan memulakan kerjaya seninya sewal usia 4 tahun menerusi sebuah filem Tamil berjudul Thunaivan.

Sejak itulah, langkahnya dalam dunia perfileman di India cukup cemerlang dengan lebih 150 buah filem telah dilakonkannya. Antara filem yang menaikkan nama  Sridevi ialah Mr India, Nagina, Lamhe, Gumrah, Judaai dan banyak lagi.

Pernah mengambil keputusan untuk berehat secara mengejut dalam dunia lakonan sekitar tahun 1997 kerana dikatakan mahu memberi tumpuan kepada keluarga. Terdahulu, berita perkahwinannya bersama sutradara, Boney Kapoor turut mencetuskan sensasi di kalangan pencinta filem Bollywood.

IKLAN

Boney Kapoor merupakan abang sulung kepada dua aktor popular, Anil Kapoor dan Sanjay Kapoor. Pasangan ini turut dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Jahnvi dan Khushi.

Bagaimanapun sekitar tahun 2012 bintang ini kembali berlakon menerusi sebuah filem, English Vinglish. Sebelum itu, dia turut muncul sebagai penampilan khas menerusi beberapa program.

Setahun selepas itu, bintang yang dilahirkan pada 13 Ogos 1963 ini menerima anugerah Padma Shri daripada kerajaan India. Penghormatan tersebut merupakan yang keempat tertinggi diberikan kepada orang awam di negara berkenaan.

Sepanjang penglibatannya dalam seni, dia telah pun menerima lima anugerah di FilemFare dan pernah menjadi antara aktres yang menerima pendapatan tertinggi di dalam setiap filem yang dilakonkan pada era 80 dan 90-an.

Di Malaysia, antara filem yang cukup sinonim dengan Sridevi ialah Nagina, sebuah filem fantasi mengenai ‘Perempuan Ular’. Filem arahan Harmesh Malhotra itu turut dibarisi pelakon popular lain seperti Rishi Kapoor, Amrish Puri dan Prem Chopra. Filem tersebut juga menjadi antara filem terlaris Bollywood pada era tahun 80-an.

IKLAN

Atas lakaran sukses yang dilakar bintang ini menerusi beberapa buah filem Bollywood sekitar tahun 80-an, sebuah majalah yang menampilkan dirinya sebagai penghias muka depan turut menggelarkan Sridevi dengan gelaran “Unquestionably No.1”!

Pada tahun 2011, aktres popular, Kareena Kapoor turut ekspresikan penghormatan buat Sridevi apabila melakukan persembahan khas buat pelakon tersebut di Anugerah Global Indian Film and Television dan mengatakan Sridevi merupakan antara sebab mengapa wanita seusianya mahu menjadi seorang pelakon.