
Selepas hampir sedekad berehat bagi memberikan sepenuh tumpuan kepada bidang perniagaan, penyanyi dan usahawan, Mila Jirin kembali mewarnai industri muzik menerusi single terbaharu berjudul Tersimpan Dalam Hati.
Menurut Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Jirin, kemunculan semula kali ini turut menyaksikan kerjasamanya dengan komposer Indonesia, Ilham Baso serta syarikat rakaman Nova Music.
Mila mendedahkan, sebelum ini dia pernah menghubungi beberapa komposer tempatan, namun rezeki untuk bekerjasama masih belum kesampaian.
“Sebenarnya saya ada mesej ramai komposer Malaysia tapi rezeki belum diizinkan lagi. Mungkin belum tiba masanya untuk berkolaborasi.
“Ada juga peminat yang bertanya mengapa saya tidak menyanyikan lagu daripada komposer Malaysia.
“Hakikatnya, album penuh nanti akan menampilkan juga lagu-lagu hasil ciptaan komposer Malaysia dan Indonesia, insya-Allah,” katanya kepada MH.
Juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Tersimpan Dalam Hati di Bizzmilla Grand Place Ballroom, Subang Jaya, pada Jumaat.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu menambah, pertemuannya dengan Ilham Baso menjadi titik tolak yang membuka ruang untuk menghasilkan karya yang begitu dekat dengan perjalanan hidupnya.
“Alhamdulillah, akhirnya saya menemui sebuah naskhah yang benar-benar menggambarkan perjalanan hidup saya,” katanya.
Mengulas mengenai kemunculan semulanya, Mila percaya setiap impian akan menjadi kenyataan pada waktu yang telah ditentukan.
“Ada kalanya saya sendiri tertanya-tanya sama ada impian untuk kembali menyanyi masih ada dalam hidup saya.
“Tetapi saya percaya, jika sesuatu impian itu benar-benar ikhlas, Allah akan menemukan jalannya pada waktu yang paling tepat.
“Dunia muzik adalah tempat saya bermula. Saya percaya sudah tiba masanya untuk kembali berkongsi karya dengan para peminat,” ujarnya lagi.
Pada majlis sama, Mila turut mempersembahkan
Tersimpan Dalam Hati buat pertama kali secara langsung dan mengakui gagal menahan sebak apabila impian yang lama dipendam akhirnya menjadi kenyataan.“Saya termenangis. Detik ini sebenarnya sudah lama tersimpan dalam hati saya.
“Sebagai anak seni, tidak pernah wujud perkataan bersara daripada dunia nyanyian.
“Cuma saya sering tertanya-tanya, sama ada saya masih mampu atau tidak untuk terus berada dalam industri,” katanya.
Single Tersimpan Dalam Hati menjadi pembuka kepada fasa baharu perjalanan seni Mila yang bakal diteruskan menerusi tiga lagi buah lagu selepas ini.
Baca Artikel Lain;
Mila kini sedang dalam perancangan menyiapkan sebuah album baharu yang diterbitkan sepenuhnya oleh suaminya, Ailis Mustapha menerusi Bizmedia Marketing.
Album tersebut dijangka siap pada penghujung tahun 2026 dan bakal menampilkan kolaborasi bersama barisan komposer dari Malaysia serta Indonesia.
Dalam perkembangan sama, muzik video (MV) rasmi Tersimpan Dalam Hati turut menjalani penggambaran di luar kota Jakarta di bawah arahan pengarah Indonesia, Wahyu Taufani Prialangga.
Menariknya, Mila sendiri terlibat secara langsung dalam pembangunan idea dan konsep penceritaan muzik video tersebut, sekali gus menjadikan karya itu lebih dekat dengan perjalanan emosi yang ingin disampaikan kepada para pendengar.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.