Penyanyi, Aisha Retno tidak menafikan lagu baharu, Samudera yang mengetengahkan dialek Kelantan dan tradisi makyung adalah lagu termahalnya setakat ini.
Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, berkata ia termasuklah kos daripada peringkat proses produksi lagu sehinggalah kepada pembikinan muzik video.
“Daripada segi kewangan, iya ini lagu yang paling mahal kerana pembikinan muzik videonya turut menggunakan kos yang tinggi, termasuk soal produksi selain saya kini sudah bergerak secara sendiri.
“Sementara daripada segi penciptaan lagu itu sendiri pula, saya tidak boleh nak zahirkan bagaimana nilainya.
“Cuma apa yang boleh saya katakan, ia karya yang mahal kerana saya hasilkan lagu ini dalam tempoh seminggu. Mahu dalami apa itu tradisi makyung, berguru apa semua. Tapi syukur alhamdulillah semuanya dipermudahkan,” katanya.
Aisha berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Samudera & Aisha Retno Malam Sutera Live In Concert 2024 di The StarHill, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Aisha juga menolak gelaran sebagai Ratu Etnik Kreatif Malaysia selepas tampil dengan beberapa karya genre sedemikian sebelum ini.
“Saya takut… bukan saya nak tolak gelaran itu tapi bila orang tanya, saya akan kata belum layak lagi sebab masih lagi baru, hanya ada tiga lagu yang bergenre tradisional yang disulam dengan rentak moden.
“Apa yang saya boleh katakan, insya-Allah kalau ada rezeki saya mahu hasilkan album tradisional-moden. Dari situ kita lihat macam mana sebab saya pun masih lagi mencari genre yang selesa dengan saya,” katanya lagi.
Mengulas mengenai kritikan pendengar susulan dialek Kelantan yang digunakan menerusi Samudera, Aisha menjelaskan dia juga mempunyai darah keturunan Pantai Timur memandangkan ayahnya berasal dari Besut, Terengganu.
“Ramai yang tak tahu sebenarnya saya ini orang Besut. Bapa saya berasal dari Besut jadi saya mahu menghormati budaya Kelantan juga dengan penghasilan lagu ini. Tak sangka pula lagu ini mencetuskan kritikan yang baik dan sebaliknya.
“Saya ada tengok komen ramai yang tahu saya orang Jawa tapi tak tahu saya juga ada ‘half’ Kelantan. Jadi jangan risau, saya ada darah Kelantan dan saya buat lagu ini untuk tarik peminat di Pantai Timur.
“Sebab saya tidak menafikan dari segi demografik ramai lagi orang di Pantai Timur yang masih belum mengenali saya.
“Jadi melalui lagu ini mungkin boleh sedikit sebanyak mempengaruhi mereka untuk mendengar lagu saya.
“Malah dalam masa sama saya mahu tarik peminat di Indonesia dan juga di sini, saya mahu perkenalkan dialek Kelantan dan juga seni makyung,” katanya lagi.
Aisha juga mengakui dia tidak fasih untuk bertutur dalam dialek Kelantan, tapi mencuba untuk menyampaikan dengan baik selepas belajar dengan bapanya.
“Sebenarnya saya tidak berapa fasih berdialek Kelantan, saya ambil masa dalam dua bulan untuk belajar dengan ayah. Agak ‘struggle’ sebenarnya nak belajar dialek Kelantan sama seperti saya ‘struggle’ belajar bahasa Jawa.
“Tapi saya mendapati dialek Kelantan lebih unik selepas mendalaminya dan ia boleh digunakan untuk seni. Tapi saya perlu cakna dan saya peka sebagai seorang artis dan dalam masa saya kena teroka lebih lagi dan berhati-hati,” katanya.
Lagu Samudera ditulis dan digubah sendiri Aisha bersama Glowrush dan Shanekennedy dan naskhah ini berkisarkan mengenai Cik Siti Wan Kembang dan serba sedikit berkait dengan kisah perjalanan Aisha dalam industri muzik tanah air.
Dalam perkembangan lain, Aisha kini sedang sibuk membuat persediaan untuk mengadakan konsert sulungnya, Malam Sutera Live In Concert pada 16 November 2024 di Zepp Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah, perjalanan konsert setakat ini berjalan lancar walaupun sekarang saya sudah bergerak sendiri, tapi saya risau juga dalam masa sama.
“Saya lebih takut dengan kesihatan saya, sebab untuk acara pelancaran ini pun saya hilang suara selama dua hari. Namun alhamdulillah ia sudah kembali baik.
“Apa pun, saya anggap peluang mengadakan konsert sebagai satu kurniaan rezeki yang sangat besar. Setakat ini, proses persiapan berjalan dengan lancar dan jualan tiket juga sekatat ini sudah lebih 50 peratus,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
View this post on Instagram
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI