
Peserta Big Stage Rocketfuel, Ranisha mengakui dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk bergelar juara pertandingan realiti nyanyian itu.
Sebaliknya, Ranisha lebih mengutamakan kepuasan dalam setiap persembahan yang dipersembahkan di atas pentas.
Menurutnya lagi, fokus utama adalah memberikan persembahan terbaik buat penonton serta mereka yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.
“Pertama sekali, saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang beri komen positif.
“Sejujurnya, setiap minggu saya tak harap untuk menjadi nombor satu.
“Saya memang suka perform dan menyanyi sejak kecil lagi. Jadi bila naik pentas, saya akan ‘all out’ dan buat yang terbaik. Saya nak orang ingat siapa Ranisha,” katanya kepada MH.
Ranisha berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu keenam Big Stage Rocketfuel di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada Ahad.
Dalam pada itu, penyanyi berasal dari Sabah itu menjelaskan matlamat utamanya bukan sekadar mengejar kemenangan, sebaliknya mahu berpuas hati dengan setiap persembahan yang dipamerkan.
“Saya lebih cari kepuasan terhadap persembahan dan diri saya. Bukan tak nak jadi juara, tapi saya tak mahu letak harapan terlalu tinggi.
“Sudah tentu keluarga dan peminat nak saya menang, dan Insya-Allah saya akan buat yang terbaik untuk mereka,” kongsinya.
Mengulas mengenai prestasi cemerlangnya, Ranisha tidak menafikan dia tetap berdepan tekanan setiap minggu, lebih-lebih lagi selepas menerima pelbagai maklum balas positif penonton.
Namun, dia berusaha menjadikan tekanan itu sebagai pemangkin untuk terus memberikan persembahan terbaik sambil mengekalkan sikap merendah diri.
“Memang ada rasa ‘pressure’ bila orang mula tertanya-tanya apa saya akan buat minggu depan.
“Tapi pada masa sama, saya cuba tukarkan tekanan itu kepada sesuatu yang positif dan hasilkan persembahan yang boleh buat orang gembira.
“Saya nak kekal tenang dan ‘stay humble’,” akhirinya.
Ranisha berjaya memecahkan rekod markah tertinggi Big Stage Rocketfuel musim keenam setakat ini apabila memperoleh 90 dan 92 markah daripada juri, Hael Husaini dan Aisha Retno.
Sepanjang lapan minggu pertandingan, para peserta akan berentap bagi merebut tiga gelaran utama yang menawarkan Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.
Musim ini pada asalnya menampilkan 10 peserta iaitu Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-Z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina dan duo Adam & Nazmie sebelum Hussain diumumkan sebagai peserta ke-11.
Ganjaran yang ditawarkan merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.
Program yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva Natassha itu bersiaran setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria, selain boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.