
Penyanyi yang sedang meningkat naik, Nadeera mencuri perhatian ramai apabila secara terbuka mengakui dirinya juga sebagai antara peminat setia Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Pendedahan tersebut dibuat secara spontan Nadeera sejurus dia selesai menyampaikan lagu Tanpa Dendam Di Hati dalam ‘showcase’, An Evening With Nadeera di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Jumaat malam.
“Sebenarnya, saya pun Sitizoners (kelab peminat Siti). Ada tak Sitizoners di sini?” katanya Nadeera atau Farah Nadeera Zaini, 32, ringkas sambil disambut dengan sorakan hanpir 400 penonton.

Membesar Dengan Lagu Siti
Malah pemenang tempat kedua Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu turut berkongsi kenangan yang dia juga membesar dengan barisan lagu malar segar Siti Nurhaliza.
“Saya memang peminat Siti. Ketika usia tiga tahun, lagu Siti adalah lagu pertama yang saya nyanyikan. Lagu berjudul Cindai. Biasalah budak-budak.
“Saya pilih lagu Tanpa Dendam Di Hati adalah kerana saya suka dengan liriknya. Bila hayati liriknya, walaupun seseorang jahat dan buat macam-macam, tapi kita tak simpan dendam.
“Kita biarkan sahaja apa orang nak buat kepada kita,” katanya lagi yang turut bersyukur dan terharu kerana ‘showcase’ sulungnya ini berjalan lancar seperti yang diharap-harapkan.
Sokongan Rakan Artis
Terdahulu, menerusi showcase yang berdurasi 60 minit itu, Nadeera menghiburkan penonton dengan lebih 10 buah lagu yang menyentuh jiwa.
Selain menampilkan kekuatan vokalnya, persembahan pada malam itu dilihat sebagai penanda aras baginya untuk terus memberikan yang terbaik selepas ini.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuklah Emas, Jampi, Illusion, Boneka Tanpa Hati, Try, Kau Dihatiku dan Bukan Lagi Kita sebagai lagu penutup.
Malah penonton turut dikejutkan dengan penampilan istimewa penyanyi Dayang Nurfaizah yang tampil duet dengan Nadeera menerusi lagu Hakikat Cinta.
Showcase yang dibawakan oleh Usanita Entertainment dan Mask Team ini turut menampilkan persembahan pembukaan oleh bakat baharu Anwar Hamzah menerusi lagu Imaginasi.
Antara rakan artis yang hadir memberikan sokongan ialah Anuar Zain dan Datuk Zainal Abidin, yang juga mentor Nadeera ketika dia menyertai program Mentor Legend pada tahun 2014.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




