“Saya Mahu Menjadi Diri Sendiri, Itu Yang Lebih Penting,” – Jadi Hos Baru Muzik-Muzik, Sissy Imann Minta Tak Dibanding Dengan Daiyan Trisha

Sissy Imann telah diberi kepercayaan untuk mengalas tanggungjawab sebagai rakan pengacara bagi program Muzik-Muzik 36 (MM36) bersama Alif Satar, Ogos depan.

Menerusi sidang media yang dilangsungkan secara virtual pada Isnin, Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil bakal mengantikan posisi hos yang dahulunya dibawa Daiyan Trisha.

Meski akui gementar, namun Sissy turut sama teruja dan bersyukur atas peluang yang diberikan stesen TV3 terhadapnya.

“Sudah semestinya saya berasa sangat gembira dan ada rasa gementar untuk mengendalikan MM. Seperti yang kita tahu rancangan ini merupakan satu program yang sudah lama, malah wujud sebelum saya lahir lagi.

“Jadi saya rasa teruja sebab MM secara boleh dikatakan dekat dengan diri dan jiwa saya,” katanya.

Penyanyi berusia 25 tahun pada masa sama turut memberikan reaksi sekiranya ada segelintir pihak yang membandingkan dirinya dengan Daiyan selepas ini.

IKLAN

“Setiap pengacara itu mempunyai cara dan kelebihan yang tersendiri. Sebenarnya kerisauan saya pada program MM itu sendiri, amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada saya untuk mengendalikan program itu menjadi kerisauan.

“Macam Daiyan, dia ada kelebihan tersendiri dan begitu juga sebaliknya. Jadi jika nak bandingkan diri kita dengan orang lain mungkin nanti ia akan jadi benda lain pula.

“Bagi saya, setiap orang ada hak masing-masing untuk menilai mana yang lebih baik. Tapi yang pastinya saya mahu menjadi diri saya sendiri, itu yang lebih penting,” katanya lagi.

Rancangan Muzik-Muzik 36 yang mula bersiaran pada 21 Mac lalu sebelum ini dihoskan oleh penyanyi Alif Satar dan Daiyan Trisha.

Selain itu, Muzik-Muzik 36 yang bersiaran pada setiap hari Isnin, jam 11 malam bakal dipinda ke waktu siaran yang baharu, iaitu setiap hari Ahad, jam 11 pagi, mulai Ogos depan.

IKLAN

Media Hiburan kini sedang menganjurkan pertandingan menarik bersempena dengan MCO 3.0 ini, siapa tahu rezeki akan jadi milik anda.

Pertandingan nyanyian ‘Karok Lockdown’ khas buat anda yang mahu ketengahkan bakat menyanyi, kalau bertuah ganjaran wang tunai menanti!

Apa yang anda perlu buat? Klik saja link DI SINI untuk mendaftar sekarang. Mana tau korang pemenang yang kami cari, all the best!

Foto: Instagram Sissy Imann