Berita

“Saya Juga Simpan Hasrat Ke Arah Itu,” – Zahirah Macwilson Tersentuh Lihat Ibu Berhijab, Bakal Tunai Haji

Share

Pelakon Zahirah Macwilson meluahkan rasa syukur dan gembira melihat penampilan terbaharu ibunya, Maslinda Yusoff yang kini sopan berhijab.

Menurut Zahirah, ibunya telah menyatakan hasrat untuk berhijab sepenuhnya sejak beberapa bulan lalu, selain bakal menunaikan ibadah haji dalam masa terdekat.

“Saya juga tumpang bahagia buat ibu saya. Sejak beberapa bulan lalu, dia ada bagitahu saya, dia memang berniat nak pakai tudung. Ibu juga bakal pergi menunaikan haji.

“Ketika ini, dia nampak sangat gembira. Sebagai anak, sudah tentu saya menyokong keputusan dia. Ini adalah perkara baik,” katanya kepada MH.

Zahirah, yang juga isteri kepada Aiman Hakim Redza, berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana siri terbaharu, Good Boys Go To Heaven yang berlangsung di TGV Cinema KLCC pada Rabu.

Dalam masa sama, Zahirah turut berkongsi bahawa ibunya akan berangkat ke Tanah Suci pada Mei ini.

Walaupun risau kerana kerana perlu berjauhan, Zahirah bagaimanapun reda dan yakin ibunya akan sentiasa dilindungi sepanjang mengenakan ibadah haji nanti.

“Sudah semestinya kita ada kebimbangan tapi Allah lebih mengetahui perkara yang lebih baik. Allah pasti akan melindungi dan memberikan petunjuk kepada ibu.

“Apa sahaja yang berlaku, Allah akan ada bersamanya,” kongsinya lagi.

Simpan Hasrat Ikut Jejak Langkah Ibu

Dalam pada itu, Zahirah tidak menolak kemungkinan untuk mengikut jejak langkah ibunya dengan berhijab sepenuhnya suatu hari nanti.

“InshaAllah saya juga menyimpan hasrat untuk ke arah itu juga satu hari nanti. Bila ibu sudah bersedia ke arah itu sekarang, saya sangat bersyukur,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Zahirah bakal muncul menerusi siri terbaharu, Good Boys Go To Heaven arahan Ariff Zulkarnain.

Naskhah berat tersebut turut dibintangi barisan pelakon seperti Beto Kusyairy, Amerul Affendi, Malek Mccrone, Firdaus Karim dan ramai lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf