
Penyanyi dan komposer, Aisha Retno, akui berbesar hati apabila diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap program realiti nyanyian terbaharu, Big Stage Rocketfuel.
Menurut Aisha, tawaran tersebut diterima sebagai tanda penghargaan terhadap program yang pernah menjadi platform penting dalam perjalanan seninya sehingga berjaya memperkenalkan namanya dalam industri muzik tempatan.
“Saya ada mendengar ura-ura mengenai program Big Stage Rocketfuel. Apabila saya dilamar untuk menjadi salah seorang juri tetap, saya merasakan tanggungjawab ini sangat besar.
“Kerjaya saya sebagai anak seni tidaklah terlalu lama atau baru. Namun, saya sudah anggap Big Stage ini sebagai rumah kedua saya.
“Ke mana sahaja saya pergi, saya akan ingat bagaimana bermulanya perjalanan saya sebagai anak seni. Big Stage memainkan peranan yang besar,” katanya kepada MH.
Aisha berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Big Stage Rocketfuel yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, pada Selasa.
Penyanyi lagu Jodoh Lebaran itu turut menjelaskan, kehadirannya sebagai juri bukan sekadar untuk menilai persembahan peserta, sebaliknya mahu berkongsi pengalaman yang dimiliki sebagai artis generasi baharu.
“Saya kembali ke program ini untuk membantu berkongsi pengalaman. Sebagai juri, saya mahu mencuba mencari pelapis. Persoalan terbesar adalah bagaimana perjalanan mereka selepas berakhir program nanti.
“Jadi, tugas saya adalah untuk mencari kualiti juara itu. Kami juga ingin mencari penyanyi yang berani berinovasi. Kebanyakkan mereka boleh menyanyikan bermacam-macam genre,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Aisha turut menegaskan dia sudah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kritikan, termasuk daripada pihak yang mempertikaikan kredibilitinya sebagai juri tetap.
“Untuk dikritik, sudah menjadi alah bisa tegal biasa buat saya selama hampir lapan tahun ini. Bagi saya, ia hanyalah seperti angin lalu sahaja. Itu yang saya rasai bila bergelar penyanyi.
“Namun, untuk bergelar juri, saya belum pernah rasai pengalaman dikritik itu lagi. Lagipun itu bukanlah tujuan. Saya bukan ingin dilihat. Sebaliknya, saya ingin membantu.
“Apa sahaja kritikan, saya akan terima dengan hati yang terbuka. Saya akan hadamkan dan ubah menjadi sesuatu yang positif. Sebagai juri, saya juga berhak ditegur. Saya sedia untuk belajar,” katanya lagi.
Mengulas mengenai jadual kerjanya yang padat ketika ini, Aisha memaklumkan segala perancangan telah disusun dengan baik meskipun sedang sibuk membuat persiapan untuk pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical dan Anugerah Juara Lagu ke-40.
“Big Stage rumah kedua saya. Bagaimana saya nak tolak ajakan untuk pulang ke rumah? Saya akui untuk membahagikan masa itu agak sukar.
“Namun, semuanya sudah dibincangkan bersama pasukan pengurusan saya dan pihak produksi. Setakat ini, segalanya masih boleh diusahakan. Saya mohon semua pihak doakan kesihatan saya,” akhirinya.
Selain Aisha, dua lagi penyanyi yang bakal mengisi kerusi juri tetap Big Stage Rocketfuel ialah Hael Husaini dan Akim Ahmad.
Sementara itu, pengacara popular, Nabil Ahmad, diberikan kepercayaan untuk mengemudi program tersebut buat pertama kali.
Seramai 10 peserta termasuk penyanyi duo bakal berentap selama lapan minggu bagi membuktikan kualiti mereka sebagai bintang nyanyian.
Big Stage Rocketfuel bakal bersiaran mulai 28 Jun ini, jam 9 malam di Astro Ria serta boleh distrim menerusi platform Astro Go dan sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini