“Saya Harap Ada Kekasih, Tapi…,” – Ini Impian Cinta Awi Rafael

Pertengahan Mac lalu, penyanyi dan komposer, Awi Rafael berdepan dugaan putus tunang Bersama pelakon, Atikah Suhaime.

Bagaimanapun, hari demi hari penyanyi lagu Kalau Aku Kaya itu diyakini melalui hari-hari yang mendatang dengan tenang dan bersahaja.

Dalam masa sama, Awi mempunyai hasrat untuk mendirikan rumah tangga, tetapi bukan dalam masa yang terdekat ini.

“Sebagai seorang lelaki, saya sudah siap sedia untuk berkahwin tetapi buat masa sekarang ibu dan muzik saya merupakan perkara utama yang perlu saya fokuskan.

“Saya juga seorang manusia biasa, cinta itu sangat menakjubkan.

“Malah, saya tidak sabar untuk melihat apa perancangan Allah yang seterusnya kepada diri saya,” kata Awi kepada MH.

Awi,33, ditemui di Sidang Media JR Richards & Awi Rafael Acoustic Showcase di Warner Music Malaysia pada Rabu.

IKLAN

Tidak mahu menyembunyikan statusnya, Awi menjawab jujur.

“Saya harap saya ada kekasih, tetapi buat masa sekarang ini, memang saya tiada siapa-siapa yang istimewa.

“Jika saya sudah berpunya, saya akan beritahu kepada media mengenai status sebenar saya,” ujarnya.

Sentiasa berfikiran positif dan ceria, anak kelahiran Singapura ini juga menganggap ujian yang diberiNya tidak mematahkan semangat dalam hidup dan kariernya.

“Masalah saya cuma kecil sahaja, tetapi saya berbangga kerana dapat menunjukkan kepada kawan-kawan bahawa kita perlu mengikut kata hati dan langkah dari Allah.

“Insyaallah, hidup kita akan jadi positif,” katanya tenang.

IKLAN

Terdahulu, Awi atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafel mengikat tali pertunangan bersama Atikah pada 17 Mac 2018 di Singapura.

Namun, ikatan pertunangan mereka terlerai setahun selepas itu dan masing-masing membawa haluan sendiri.

Dalam perkembangan lain, Awi akan mengadakan persembahan iaitu Awi Rafael & JR Richard: Stripped Acoustic Showcase di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur jam 9.30 malam ini.

Tiket boleh didapati di pintu masuk Hard Rock Cafe dengan harga RM95 (biasa) dan RM130 (VIP).