Mungkin hari ini ramai yang lebih mengenali Ridzuan Hashim, 53, sebagai pelakon, namun ramai yang tidak tahu pelakon tinggi lampai ini sebenarnya terlebih dahulu dikenali sebagai model sebelum menceburi bidang lakonan.

Memulakan kerjayanya dalam bidang peragaan sekitar pada tahun 1981, apabila diberi peluang untuk terlibat dalam bidang peragaan oleh pihak terbabit yang tertarik dengan ketampanan dan personaliti yang dimiliki.

Pada usia yang baru mencecah 21 tahun, Ridzuan ketika itu sedang tercari-cari bidang pekerjaan yang sesuai dengannya setelah menarik diri daripada pasukan bola sepak yang disertainya sebelum itu, menerima tawaran tersebut untuk menimba pengalaman.

“Pada asalnya minat saya kepada sukan bola sepak dan pernah bercita-cita nak main secara profesional apabila menyertai Pasukan Bola Melayu Wilyah Persekutuan, tetapi atas sebab faktor kewangan tidak begitu mengizinkan waktu itu, saya beralih bidang.

“Mungkin kerana kelebihan fizikal dimiliki, saya mendapat peluang untuk jadi model di pentas peragaan dan terlibat dengan pelbagai acara fashion show selama beberapa tahun.

“Peluang lebih besar datang apabila saya ditawarkan pula untuk buat iklan komersial di TV dengan bayaran yang jauh lebih lumayan, malah waktu kerjanya juga tidak terlalu panjang menjadikan ia motivasi terbaik untuk saya meneruskan kerjaya itu,” katanya.

Menjadi pilihan kebanyakan jenama produk ketika itu, wajah kacak Ridzuan pernah tampil dalam hampir 40 iklan komersial di kaca TV, antaranya Amanah Saham Nasional, Benson & Hedges, Panasonic, Marlboro, Levi’s dan sebagainya.

IKLAN

“Pada era itu, siaran iklan memang begitu menguasai kaca TV dengan konsep yang sangat menarik menyebabkan penonton begitu tertarik dengan iklan sehinggakan wajah kami mudah dikenali ramai.

“Saya masih ingat ketika acara Sukan SEA berlangsung, berpuluh-puluh kali wajah saya muncul di kaca TV dalam sehari kerana produk yang menampilkan saya dalam iklan mereka terlibat sebagai salah satu sponsor acara tersebut,” imbasnya yang pertama kali muncul dalam iklan Amanah Saham Nasional.

Ridzuan Hashim, Pemain Bola Sepak Tampan Terjun Ke Dunia Lakonan

Popularitinya sebagai model iklan komersial juga turut membawa Ridzuan mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan apabila ditawarkan untuk berlakon drama dua episod, Adam & Hawa untuk siran RTM pada tahun 1986.

“Orang yang bertanggungjawab bawa saya dalam dunia lakonan adalah Habsah Hassan yang ketika itu aktif mengusahakan syarikat produksi Serangkai Filem, di mana dia menghubungi saya untuk hadir uji bakat untuk dram Adam & Hawa.

IKLAN

“Ketika itu saya terima sahaja pelawaan dia kerana mahu mencuba bidang baru dan tanpa disangka saya berjaya dalam ujibakat itu dan digandingkan dengan Datuk Khatijah Ibrahim dalam drama itu.

“Di situlah titik mula saya dalam bidang lakonan yang kemudiannya membawa saya kepada pelbagai peluang berlakon termasuklah kemunculan dalam filem pertama saya, Antara Dua Hati bergandingan dengan Raja Ema dan Sabree Fadhil dalam tahun yang sama,” imbasnya yang menjadi kegilaan ramai peminat perempuan ketika itu.

Sehingga kini Rizuan telah berlakon lebih 20 buah filem termasuk Hati Bukan Kristal (1990), Awas (1995), Ghazal Untuk Rabiah (1997), Cicakman 2 (2008) dan KL Gangster 1&2 (2011).

Ridzuan Hashim, Pemain Bola Sepak Tampan Terjun Ke Dunia Lakonan

IKLAN

Biarpun pada awal penglibatannya sebagai pelakon, Ridzuan sering dikaitkan sebagai popular kerana rupa paras yang dimilikinya berbanding bakat lakonan, dia akhirnya membuktikan sebaliknya apabila dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal.

“Sebenarnya bukan saya sahaja yang berdepan dengan situasi itu, tetapi rakan-rakan lain dari bidang modelling yang kemudiannya bergelar pelakon juga dilabel turut dilabel begitu kerana model memang sinonim dengan kelebihan fizikal.

“Alhamdulillah berkat usaha, saya dapat pengiktirafan dalam FFM menerusi kategori Terbaik dan itu menjadi pencapaian dan kenangan yang cukup manis dalam kerjaya yang saya kenang sehingga hari ini,” ujarnya yang juga pernah dinobatkan sebagai pelakon Pembantu lelaki Popular di Anugerah Bintang popular edisi pertama.

Berkongsi kisah lalu juga, kata Ridzuan dia cukup seronok membina kerjaya pada era itu kerana hubungannya dengan rakan-rakan artis seangkatan sangat baik bukan sahaja di depan kamera tetapi juga di luar.

“Zaman dulu telefon pintar dan media sosial belum wujud, jadi setiap kali berjumpa kami sering menghabiskan masa untuk duduk berbual-bual sesama sendiri baik berbincang tentang kerjaya mahupun bertanyakan khabar masing-masing.

“Tapi sekarang suasana seperti itu tidak wujud lagi kerana masing-masing begitu obses dengan telefon pintar masing-masing sehingga tidak sudi lagi untuk bercampur gaul dengan orang lain, malah dilihat agak sombong dalam dunia sendiri,” ujarnya yang bakal muncul dalam telefilem Wanita Terindah yang bakal disiarkan di Astro First tidak lama lagi ini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI