Pertama Kali Buat Persembahan Tanpa Jonghyun, Semua Ahli Shinee Menangis Atas Pentas!

Bukan mudah untuk beraksi di atas pentas selepas kehilangan salah seorang ahli yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Sudah semestinya kehilangan tersebut akan terasa.

Mungkin itulah yang dirasai oleh kesemua ahli kumpulan Shinee iaitu Onew, Minho, Key dan Taemin yang kehilangan Jonghyun tahun lalu.

Baru-baru ini, mereka meneruskan aktiviti kumpulan tersebut di Jepun iaitu SHINee World Best 2018 – From Now On yang merupakan konsert pertama mereka tanpa Jonghyun.

Apa yang menarik perhatian MH adalah kesemua ahli Shinee dan peminat seolah mendedikasikan pentas tersebut khas buat mendiang Jonghyun dengan meninggalkan ruang tengah di atas pentas buatnya.

IKLAN

Dalam pada itu, ketika menyanyikan lagu yang mempunyai suara Jonghyun, salah seorang ahli, Key kelihatan tidak dapat mengawal emosinya dan menangis di atas pentas.

Turut kelihatan mengalirkan air mata adalah Taemin dan Minho manakala ketua kumpulan, Onew cuba kelihatan kuat buat ahlinya yang lain.

Mereka juga memakai riben hitam sebagai simbolik kehilangan Jonghyun dan juga meletak riben hitam di ‘mic’ Jonghyun semasa persembahan terakhir.

IKLAN

“Jujurnya, saya sangat takut hari ini namun saya berjaya mengharungi kerana Shawol (peminat Shinee), saya akan meneruskan persembahan dengan memikirkan bahawa ada 5 orang di atas pentas.

“Saya memohon agar anda semua terus mengingati Jonghyun, tiada kata-kata yang dapat menerangkan betapa berharganya dia,” kata Minho.

Sementara itu, Key pula memandang ke atas langit dan berkata ‘I Love You’ dalam bahasa Inggeris.

Para peminat juga tidak ketinggalan memberikan sokongan kepada kumpulan tersebut dengan mengatakan ‘Shinee is forever five’.

Sumber: Allkpop