
Meskipun pernah bergelar artis rakaman dan memiliki beberapa karya yang meraih jutaan pendengar, penyanyi Danial Kifli melihat penyertaannya dalam program Big Stage Rocketfuel sebagai platform terbaik untuk memperkukuhkan namanya dalam industri seni.
Menurut Danial, ramai yang mengenali lagu-lagunya, namun masih tidak mengetahui individu di sebalik karya tersebut.

“Kebanyakkan orang tahu lagu-lagu saya tapi mereka tak tahu siapa penyanyinya. Ini terbukti bila saya sudah mengeluarkan lima buah single tapi masih ramai yang tak tahu saya ini seorang penyanyi.
“Malah, saya juga sering dibandingkan dengan beberapa penyanyi lain. Jadi, saya masuk ke program Big Stage Rocketfuel ini untuk tunjuk dan memperkenalkan diri saya sebagai penyanyi dan komposer.
“Saya juga nak buktikan yang diri saya punyai bakat yang tersendiri dan berbeza dengan peserta-peserta lain,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Pergilah Cinta itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Big Stage Rocketfuel, baru-baru ini.
Anggap Penyertaan Sebagai Medan Menimba Ilmu
Dalam pada itu, Danial menegaskan dia tidak pernah menganggap dirinya lebih hebat daripada peserta lain meskipun memiliki pengalaman membuat persembahan di pentas besar sebelum ini.

Sebaliknya, pengalaman tersebut dilihat sebagai bekalan yang boleh membantunya memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan berlangsung.
“Saya tidak terlalu memikirkan sangat soal itu. Saya anggap pengalaman itu sebagai bekalan untuk membantu saya menampilkan persembahan terbaik sepanjang pertandingan berlangsung.
“Alhamdulillah, saya punyai pengalaman untuk buat persembahan di hadapan artis, Perdana Menteri dan khalayak ramai.
“Namun, peserta lain juga tak kurang hebatnya. Ada diantara mereka yang punyai ijazah sarjana dalam bidang seni suara. Ada juga yang pro jazz dan R&B.
“Kekuatan saya adalah balada. Saya akan bawakan segala pengalaman dan ilmu yang pernah dikongsikan artis-artis lain. Saya juga sudah lalui pelbagai rintangan sebelum menghasilkan single,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Danial turut menolak tanggapan bahawa penyertaannya dalam program realiti itu akan menjatuhkan statusnya sebagai penyanyi yang pernah menghasilkan karya-karya popular.

“Saya tidak meletakkan diri saya sebagai artis yang sudah betul-betul dikenali. Saya masih meletakkan diri saya sebagai penyanyi yang masih harus belajar. Sebelum ini, saya hanya boleh menyanyikan lagu balada sahaja.
“Bila sertai program ini, saya tahu ia bukan mudah. Setiap minggu kami ada tugasan yang berbeza. Jadi, anda akan lihat saya menyanyikan lagu-lagu di luar forte saya.
“Saya tak tanggap penyertaan saya di program ini sebagai ‘downgrade’ diri. Saya anggap ini merupakan medan ilmu seperti mana kita belajar di universiti.
Anda mungkin berminat dengan
“Bila nama saya dikenali nanti, setidaknya saya sudah penyai bakat dan ilmu,” akhirinya.
Terdahulu, Danial merupakan antara 10 peserta yang diperkenalkan untuk bersaing dalam Big Stage Rocketfuel selama lapan minggu.

Kesemua peserta bakal diadili oleh barisan juri tetap yang terdiri daripada penyanyi dan komposer terkenal tanah air iaitu Hael Husaini, Aisha Retno serta Akim Ahmad.
Sementara itu, pengacara popular Nabil Ahmad diberi kepercayaan untuk mengendalikan program tersebut buat julung kalinya.
Big Stage Rocketfuel bakal bersiaran mulai 28 Jun ini, jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria serta boleh distrim melalui platform Astro GO dan sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

