
Penyanyi Jennifer Lopez mengesahkan dia kini sudah bergelar isteri kepada aktor Ben Affleck pada Ahad.
Berita gembira itu dikongsikan Jennifer menerusi laman web rasminya, On The JLo.
Dalam perkongsian tersebut, Jennifer turut memuat naik beberapa foto majlis perkahwinan mereka yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat.
“Kami dah berkahwin. Cinta adalah satu perasaan yang sungguh indah dan ini adalah hasil kesabaran kami selama 20 tahun.
“Malam semalam (Sabtu) kami terbang ke Vegas, beratur untuk mendaftar perkahwinan bersama empat pasangan lain demi satu tujuan yang sama.
“Perkara yang paling penting dalam perkahwinan ialah kami berjanji untuk saling mencintai, memahami dan bertolak ansur antara satu sama lain.
“Ini merupakan malam terindah buat kami,” kata JLo.
Pasangan ini berkahwin di Little White Wedding Chapel yang dikenali sebagai lokasi perkahwinan popular buat pasangan yang ingin mengadakan majlis secara ekspres dan sederhana.
Jennifer dan Ben yang digelar Bennifer ini mengumumkan pertunangan mereka pada April lalu.
Sebelum ini, Jennifer, 53, dan Ben, 50, pernah bertunang pada 2002 namun putus sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.
Selepas perpisahan itu, Ben kemudiannya berkahwin dengan aktres Jennifer Garner dan hasil perkahwinan, mereka mempunyai tiga orang anak iaitu Violet, Seraphina dan Samuel.
Manakala JLo berkahwin dengan penyanyi Marc Anthony dan mempunyai sepasang kembar iaitu Emme dan Max.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Angkat Tema Nikah Muda, Imam Tanpa Maklum Bawa Penonton Lihat Alam Perkahwinan Dengan Pandangan Berbeza

Filem Imam Tanpa Makmum adalah sebuah filem romantik komedi terbitan produksi Indonesia, Syakir Pictures dengan kerjasama Onprima Studio.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Onprima Studio, Mohd Shahir Sulaiman, pihaknya memilih untuk menjalinkan kerjasama ini kerana melihat Syakir Pictures memiliki misi dan visi yang sama dengan pihaknya iaitu ingin memartabatkan karya Nusantara ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pihak kami amat berbesar hati dapat bersama-sama dengan Syakir Pictures menerusi karya yang disifatkan agak berbeza daripada kebanyakan karya seberang apatah lagi ia diarahkan oleh anak muda yang saya lihat mempunyai masa depan cukup cerah.
“Diharap kerjasama ini akan berterusan untuk projek yang akan datang dengan lebih banyak genre filem. Saya percaya kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penonton menerusi karya yang ditampilkan tetapi juga buat seluruh warga industri perfileman tanah air,” katanya.
Mengangkat tema nikah muda, filem Imam Tanpa Makmum terbitan dan arahan aktor Syakir Daulay ini agak berbeza daripada kebanyakan naskhah dari negara seberang itu.
Tidak hanya sebagai pengarah dan penerbit, Syakir yang baru berusia 21 tahun juga memegang watak utama sebagai Imam dalam karya yang menelan kos penerbitan sekitar RM1.4 juta itu.
Memikul begitu banyak tanggungjawab, Syakir mengakui terdapat banyak cabaran yang terpaksa dihadapi, namun demi merealisasikan impiannya, pelakon muda ini berani mengambil langkah untuk maju ke depan.
“Begitu banyak cabaran dan ramai juga yang menentang terutama keluarga. Kebanyakan mereka tidak yakin apakah anak muda seperti saya mampu membawa pulangan yang begitu banyak? Tetapi saya percaya apa yang diusahakan pasti akan membuahkan hasil. Tiada usaha yang sia-sia,” kata Syakir.
Menyentuh tentang tema perkahwinan muda, menurut Syakir filem yang telah ditayangkan di Indonesia pada 19 Oktober lalu itu akan membuatkan penonton melihat alam perkahwinan dengan pandangan yang berbeza.
Ia mengisahkan tentang kisah Imam (Syakir Daulay) yang terpaksa mencari calon isteri selepas ibunya (Cut Mini Theo) memintanya untuk segera berkahwin. Meskipun hatinya enggan berkahwin muda, Imam seorang anak yang begitu patuh pada permintaan ibunya.
Pertemuannya dengan Naira (Vonny Felicia), seorang pemain biola yang mempunyai rumah singgah untuk anak jalanan telah membuatkan Imam jatuh cinta. Sayangnya, ibu Imam menentang keras hubungan mereka kerana kehidupan malam Naira.
Sementara itu, pada masa yang sama seorang gadis bernama Zahra (Rayisa Nayla Salwa) yang merupakan pelajar pesantren (sekolah agama) telah bersedia untuk menjadi isteri Imam. Di manakah perjalanan Imam berakhir? Apakah ibunya bersetuju akan hubungannya bersama Naira atau memaksanya untuk bersama Zahra?
Filem Imam Tanpa Makmum akan mula ditayangkan dipawagam seluruh negara bermula 30 November 2023.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Influencer AZ Pemurah Kekal Sorok Indentiti… Bimbang Wujud Riak & Takbur

Biarpun sudah beberapa kali menerima desakan untuk mendedahkan identiti, pempengaruh, AZ Pemurah bagaimanapun memilih untuk terus menyembunyikan wajah sendiri ketika menyantuni golongan yang memerlukan.
Kongsi AZ Pemurah, dia lebih senang dengan menyembunyi identiti kerana takut jika perasaan riak dan takbur mula menguasai diri sendiri kerana suka dengan perhatian ketika melakukan kebajikan.
“Memang ramai yang tanya, siapa AZ Pemurah ini. Kalau dalam video atau gambar pun, memang saya tak akan tunjuk wajah. Bukan apa, lebih kepada menjaga diri sendiri daripada pelbagai perasaan takbur dan riak.
“Saya mahu buat kebajikan, bantu orang tanpa perlukan perhatian. Cukuplah Tuhan tahu niat dan keikhlasan saya. Ini adalah cara saya berkongsi rezeki dan mengumpul amal menuju ke alam berbeza,” ujarnya.
Pempengaruh yang juga usahawan itu ditemui ketika program Pengagihan Makanan Menyantuni Gelandangan di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
@azpemurah Ya Allah berikanlah kekuatan utk ku terus melangkah 😭😭#azpemurah #doaaz #tiktokmalaysia #fyp #malaysia ♬ original sound – Az Pemurah 🤲🏻🤲🏻🤲🏻
Dalam pada itu, AZ Pemurah berkata, mereka yang pernah dibantu juga memahami dan menghormati permintaannya untuk tidak menyebarkan wajah serta identitinya.
“Adakala bila saya pergi ke program-program kebajikan, saya tak pakai pelitup muka. Kadang-kadang, terjadi spontan kan. Tetapi mereka tak ambil video atau gambar pun, hormat cara saya.
“Walaupun mungkin ramai yang tertanya-tanya, saya lebih senang begini sahaja. Kalau ada yang nampak wajah saya di luar, saya minta jangan sebar atau muat naik. Alhamdulillah, mereka hormat permintaan saya,” katanya.
Diaju soalan pernahkah dia menerima kecaman lantaran memuat naik video-video kebajikannnya di media sosial, AZ Pemurah berkata, jarang sekali dia menerima komen berbaur negatif.
“Mungkin daripada 1,000 komen, ada satu yang kecam. Tetapi Alhamdulillah, tidak melampau dan kasar pun.
“Mungkin sebab saya sendiri tidak tunjuk identiti di media, jadi kalau nak cakap mahu perhatian jauh sekali kan.
“InsyaAllah, saya akan kekal dengan cara begini. Lebih senang,” katanya yang turut memiliki lebih 1.5 juta pengikut di TikTok.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
“Dia Wanita Baik Dan Fantastik,” – Nik Iruwan Memuji, Nabila Razali Doa Perkahwinan Hingga Ke Jannah

Hampir dua minggu bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Nabila Razali iaitu Nik Iruwan Nik Izani, dia menyifatkan kehadiran isterinya itu sebagai hadiah yang paling bernilai.
Menurut Nik Iruwan, meski baru berkenalan tahun ini, namun dia mengharapkan yang terbaik daripada isteri yang cukup sempurna pada matanya.
“Dia sempurna di mata saya. Malah, dia juga wanita yang baik dan fantastik. Saya cuba mencari di mana kelemahannya tapi belum jumpa lagi.
“Saya akui keputusan untuk bernikah dengannya adalah satu perkara yang besar dalam hidup saya, termasuk untuk Nabila sendiri. Saya tidak berbelah bahagi untuk berkahwin dengannya.
“Bagi saya, Nabila juga wanita yang sangat teratur dan bersemangat dalam apa saja yang dia ingin lakukan.
“Sepanjang tinggal bersamanya dalam tempoh seminggu ini, kehadirannya adalah detik yang paling membahagiakan dalam hidup saya,” katanya bersama Nabila di sisi.
Pasangan raja sehari itu ditemui selepas majlis persandingan mererka yang berlangsung di sebuah hotel di Damansara, Selangor, pada Ahad.
Sementara itu, Nabila memilih untuk tidak berkongsi tempoh mereka menjalin hubungan cinta sebelum mengambil keputusan untuk bernikah pada 18 November lalu.
“Pada pandangan saya, masa itu tidak penting tapi momen yang kami luangkan bersama ketika dalam tempoh terbabit cukup bermakna.
“Sepanjang kami berkenalan tidaklah berlangsung dengan sempurna, sudah tentu kami ada kekurangan dan kelebihan masing-masing, tapi perkara itulah yang melengkapi perhubungan kami berdua.
“Sepanjang perkenalan pun, suami saya saling melengkapi segala kekurangan yang ada pada diri saya. Selebihnya hanya Tuhan dan saya saja yang tahu.
“Saya harap perkahwinan ini kekal hingga ke jannah serta memohon doa daripada semua orang untuk perhubungan yang baru dibina ini,” katanya.
Terdahulu pada majlis persandingan yang bertemakan Batik Jawa itu, kira-kira 250 tetamu hadir meraikan pasangan mempelai dan Nabila turut diarak dengan menaiki tandu menuju ke pelaminan.
Selain ahli keluarga, media dan rakan selebriti, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan daripada Hael Husaini, Amira Othman, Neeta Manis, Aisha Retno dan Lah Ahmad.
Nabila dan Nik Iruwan sah bergelar suami isteri pada 18 November lalu dalam majlis pernikahan di sebuah resort di Bukit Tinggi, Pahang.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.