
Pengurus kepada pelakon, Fattah Amin iaitu Sakirin Acha mengakui pihaknya tidak tahu-menahu mengenai pelancaran single duet terbaharu Fattah bersama bekas isterinya, Nur Fazura berjudul Bertahan Demi Cinta yang bakal dilancarkan Khamis ini.
Menurut Sakirin Acha atau Acha, dia juga menafikan dakwaan segelintir netizen yang menuduh Fattah cuba menggunakan isu perceraian sebagai gimik untuk mempromosikan single berkenaan.
“Saya baru saja menghubungi Fattah untuk mengetahui perkara ini dan dia maklumkan tidak tahu-menahu mengenai pelancaran single duet ini.
“Saya ingin tegaskan perceraian ini bukan satu gimik untuk mempromosikan single duet atau dibuat main. Saya orang pertama yang akan melarang Fattah sekiranya dia mahu mempromosikan single itu pada waktu sekarang,” katanya.
Acha menambah, Fattah menjelaskan single duet itu sebenarnya sudah lama dirakam dan pernah menjadi salah satu runut bunyi drama bersiri Hero Seorang Cinderella 2 sebelum ini.
“Lagu ini pernah dimainkan dalam drama Hero Seorang Cinderella 2. Malah proses penggambaran muzik video juga sudah lama dibuat di Indonesia.
“Cuma tak sangka pula single ini dilancarkan sekarang hingga mengundang pelbagai fitnah yang tidak benar. Jadi, saya harap netizen berhenti membuat spekulasi tak betul,” katanya lagi.
Ditanya mengenai keadaan terkini Fattah selepas perceraian yang berlaku, Acha memaklumkan, pelakon itu berada dalam keadaan baik.
“Insya-Allah Fattah baik-baik saja. Saya yakin dia kuat untuk menghadapi ujian ini. Cuma apa yang berlaku ini membuatkan dia sangat tertekan dan terkejut, tapi saya harap dia reda,” katanya.
Terdahulu, syarikat rakaman Indonesia, Hits Records memuat naik video di Instagram memaklumkan pasangan itu bakal melancarkan single Bertahan Demi Cinta pada 10 Oktober ini di semua platform penstriman digital.
Pada Isnin, Fattah melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh pada pukul 9.45 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari, Shah Alam selepas tujuh tahun bergelar suami kepada Fazura.
Anda mungkin berminat dengan
Fazura dan Fattah berkahwin pada 27 November 2017 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber: Harian Metro
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

