Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Dato’ Adam Ilyas menjelaskan pihaknya sudah pun menjelaskan pembayaran penuh untuk bekas hos program Mic On! musim kedua, Azwan Ali untuk sepuluh minggu siaran.

Menerusi satu kenyataan media, Adam Ilyas mendedahkan pembayaran tersebut telah dilakukan pada hari sama Azwan digugurkan pada 8 Mac lalu. 

“Seperti yang ditegaskan sebelum ini, pihak Awesome TV tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar etika kerja terutamanya yang melibatkan program-program terbitan kami kerana mereka seharusnya memahami amanah dan tanggungjawab yang datang bersama dengan lantikan mereka.

“Merujuk kepada isu Azwan Ali yang menuntut baki bayaran untuk program MIC ON!, pihak Awesome TV memandang serius akan pertuduhan tersebut kerana pembayaran penuh untuk sepuluh minggu telahpun dibuat pada hari yang sama beliau digugurkan iaitu pada Selasa, 8 Mac 2022. Meski beliau cuma melunaskan komitmen sebagai hos untuk tempoh enam minggu sahaja,” katanya.

IKLAN

Kenyataan sama antara lain turut memaklumkan, pemberitahuan rasmi mengenai penamatan khidmat Azwan juga telah dikeluarkan pada hari sama.

“Kami beranggapan isu bayaran untuk program MIC ON! sudahpun selesai dan tidak mahu memanjangkan lagi hal ini. Fokus utama kami sekarang adalah untuk menghabiskan program MIC ON! yang masih berbaki empat minggu lagi,” katanya.

Dalam pada itu, pihak produksi juga merancang membawa masuk khidmat hos jemputan untuk digandingkan bersama hos sedia ada, Issey Fazlisham.

IKLAN

Keputusan tersebut dibuat bagi memeriahkan lagi konsert mingguan MIC ON! dan hos bersama bakal diumumkan produksi dalam masa terdekat.

MIC ON! bersiaran pada setiap Jumaat, 9.00 malam menerusi saluran Awesome TV di platform Astro 123 dan MyTV 112.

IKLAN

Terdahulu Awesome TV dalam satu kenyataan memaklumkan Azwan digugurkan sebagai pengacara program realiti berkenaan berkuat kuasa serta merta pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, punca sebenar Azwan digugurkan daripada program itu tidak didedahkan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI