
Perjalanan Jamilul Hayat atau lebih dikenali sebagai Pak Hayat sepanjang program Talk To My Manager Musim 2 (TTMM2) menjadi antara kisah yang mencuri perhatian ramai apabila penyanyi senior itu mempamerkan perubahan positif dari aspek kesihatan, keyakinan diri dan semangat untuk meneruskan kehidupan.
Pak Hayat yang juga ‘manager’ kepada anaknya Hussain di TTMM2, sebelum ini berdepan cabaran kesihatan berkaitan paru-paru yang memberi kesan kepada pergerakan serta aktiviti hariannya.
Dalam masa sama, dia turut mengusahakan perniagaan nasi lemak bersama isterinya di Ipoh sebagai sumber rezeki utama keluarga.
Menurut Pak Hayat, keadaan kesihatannya sebelum ini menyebabkan dirinya mudah semput, cepat letih dan memerlukan sokongan untuk bergerak.
Malah, dia juga akui sering berasa takut setiap kali bangun pada waktu pagi kerana bimbang berdepan kesukaran untuk bernafas.
“Setiap kali saya bangun pagi untuk ambil wuduk di waktu Subuh, saya mesti menjerit ketakutan. Takut sesak nafas,” katanya.
Melihat cabaran yang dihadapinya sejak minggu-minggu awal TTMM2, pengasas Eskayvie, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri bersama Pengarah Urusan Eskayvie, Dr Kartika Wati Mohamed tampil menghulurkan sokongan sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat dalam memperkasakan kesihatan masyarakat.
Sepanjang program berlangsung, Pak Hayat menerima pemantauan kesihatan secara berterusan yang merangkumi konsultasi bersama pasukan profesional, pemeriksaan kesihatan berkala, bimbingan pemakanan, galakan gaya hidup lebih aktif serta sokongan nutrisi yang bersesuaian.
Malah dia turut menerima sebuah basikal senaman statik bagi membantunya menjalani aktiviti fizikal secara lebih konsisten di rumah.
Inisiatif tersebut mencerminkan pendekatan Eskayvie dalam menyediakan sokongan kesihatan secara menyeluruh melalui pemantauan berterusan, bimbingan gaya hidup dan bantuan nutrisi yang bersesuaian.
Menurut Dr Syid Ayob, perkembangan Pak Hayat dipantau dari semasa ke semasa dan menunjukkan perubahan yang memberangsangkan.
“Kepekatan oksigen Pak Hayat meningkat daripada 88 peratus kepada 96 peratus, manakala bacaan digital spirometer turut menunjukkan peningkatan daripada sekitar 280 mililiter kepada 420 mililiter,” katanya.
Baca Artikel Lain;
Perubahan tersebut dapat dilihat dengan jelas sepanjang perjalanan TTMM2 apabila Pak Hayat mula bergerak dengan lebih yakin dan semakin aktif menjalani kehidupan seharian.
Dia yang sebelum ini sering dilihat menggunakan tongkat akhirnya mampu berjalan tanpa bantuan, malah berjoget di atas pentas dan menyampaikan nyanyian pada episod akhir program.
Bagi Pak Hayat, perubahan yang dialami bukan sahaja memberi kesan kepada keadaan fizikalnya, malah turut membantu beliau menjalani kehidupan harian dengan lebih tenang.
“Bangun pagi rasa macam orang baharu. Yang penting, saya dah tak takut nak ambil wuduk,” katanya.
Walaupun TTMM2 telah melabuhkan tirainya, perjalanan kesihatan Pak Hayat akan terus dipantau.
Eskayvie meneruskan sokongan selama enam bulan bermula Julai ini menerusi program kesedaran kesihatan yang merangkumi konsultasi, bimbingan gaya hidup, sokongan nutrisi dan bantuan kewangan.
Bagi Pak Hayat, pengalaman sepanjang TTMM2 bukan sekadar membawa perubahan kepada kesihatannya, malah membuka peluang untuk beliau memulakan semula kehidupan dengan lebih baik.
Kisahnya diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya mereka yang sedang berdepan cabaran kesihatan, agar terus berusaha, mendapatkan sokongan yang betul dan tidak mudah berputus asa.
Ikuti perkembangan Pak Hayat serta pelbagai inisiatif kesihatan dan komuniti yang dijalankan oleh Eskayvie menerusi Facebook, Instagram dan TikTok rasmi Eskayvie Malaysia. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi mereka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.