“Perceraian itu berlaku secara paksaan dan berlaku depan mata saya.”

Demikian kata penyanyi Datuk Nora Ariffin sebagai mengulas sepotong video dia diceraikan bekas suami, Dr Rushdi Ramli di yang dimuat naiknya di akaun Instagram pada Ogos lalu.

Menceritakan semula detik itu, Nora mendakwa, bekas suaminya itu menerima satu panggilan telefon yang meminta untuk menceraikannya.

“Ketika kejadian, kami baru selesai solat Subuh dan dia dapat panggilan telefon untuk ‘lepaskan’ saya.

“Saya sangat terkejut dan tertanya-tanya apa salah saya waktu itu. Namun saya tahu siapa yang memberikan ‘arahan’ itu.

“Disebabkan terlalu emosi saya merakam situasi itu lalu memuat naik di media sosial tanpa fikir implikasinya,” katanya.

Nora berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey di BSYNCLIVE, Kuala Lumpur, hari ini.

Nora bagaimanapun mengakui tindakannya berkongsi video tersebut di media sosial adalah satu kesilapan dan sudah memohon maaf kepada pihak yang terbabit.

“Saya sedar tindakan saya adalah satu kesilapan. Sebagai manusia, saya tidak mampu mengawal emosi dan berfikir secara rasional.

“Lagipun situasi waktu itu sangat mengejutkan dan menyebabkan trauma kepada diri saya. Ia berlaku di luar kawalan saya.

“Sebenarnya tujuan saya kongsikan video itu hanyalah untuk menjelaskan status terkini saya. Cuma saya tak boleh nak kongsi lebih lanjut mengenai apa yang berlaku.

“Tetapi saya sudah memohon maaf kepada bekas suami dan dia sudah memaafkan saya. Dia tahu apa keadaan masa itu dan sekarang ini hubungan kami baik-baik saja,” katanya lagi.

Ditanya mengenai bilakah usia perkahwinan yang dibina bersama bekas suami, Nora memberitahu, biarlah perkara itu menjadi rahsia antara mereka.

Terdahulu pada 12 Ogos lalu, Dr Rushdi menceraikan Nora dengan talak satu menerusi sebuah video berdurasi 52 saat.

Namun Nora menjelaskan, perceraian itu berlaku sebelum tarikh video tersebut dimuat naik.

Malah selepas video berkenaan menerima reaksi ramai, Nora sempat membela bekas suaminya dan memaklumkan itu bukanlah atas kehendak suaminya, sebaliknya mengikut arahan seseorang.

Namun video berkenaan sudah dipadamkan di akaun Instagram miliknya.

Untuk rekod, Nora sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan komposer, Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Selepas itu, Nora mengumumkan sudah Kembali bergelar isteri kepada Rushdi dalam satu majlis yang diadakan di sekitar hujung tahun 2021.

Penyanyi tersebut enggan menjelaskan dengan lebih terperinci berkenaan perkahwinannya dan hanya memaklumkan Rushdi merupakan sahabat baik kepada Johan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI