
Penyanyi dan penulis lagu terkenal, Nelly Furtado, mengumumkan bahawa beliau akan berundur daripada membuat persembahan selepas lebih 25 tahun mewarnai industri muzik antarabangsa.
Dalam hantaran di Instagram sempena ulang tahun ke-25 album debutnya Whoa, Nelly!, penyanyi berusia 46 tahun itu mengimbas kembali perjalanan awal kariernya pada tahun 2000 ketika berusia 20 tahun.
Nelly berkata, pengalaman pertama membuat persembahan dan membeli gaun pink sendiri sebegai persiapan adalah amat bermakna kerana ia menandakan detik kelahiran dirinya sebagai seorang artis.
“Pada tahun 2000, saya masih ingat saya merasa satu tujuan hidup, berharap suatu hari nanti ada anak muda yang akan menemui semula album Whoa, Nelly! di kedai rakaman dan menganggapnya menarik atau memberi inspirasi. Saya tidak pernah terfikir akan wujud begitu banyak cara baharu untuk orang menemui muzik ‘lama’ pada tahun 2025,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur apabila karya lamanya kembali diterima generasi baharu dan menyifatkan fenomena itu sebagai sesuatu yang ajaib.
“Melihat ramai orang menemui semula muzik saya adalah satu pengalaman yang sangat ajaib dan menggembirakan. Ia benar-benar membuat saya percaya pada keajaiban muzik,” ujar Furtado.
Namun dalam nada yang lebih tenang, beliau mengumumkan bahawa dirinya akan berundur daripada dunia persembahan buat sementara waktu.
“Saya telah memutuskan untuk berundur daripada dunia persembahan buat sementara waktu dan memberi tumpuan kepada beberapa kerja kreatif serta hal peribadi lain yang saya rasakan lebih sesuai dengan fasa kehidupan saya ketika ini,” katanya lagi.
Walaupun memilih untuk menjauhkan diri daripada pentas, Furtado menegaskan bahawa cintanya terhadap muzik tidak pernah pudar dan sentiasa ingat bahawa dia merupakan seorang penulis lagu.
Pelantun lagu I’m Like a Bird dan Promiscuous itu turut menzahirkan penghargaan kepada semua peminat dan rakan kolaborasi yang telah menyokongnya sepanjang lebih dua dekad dalam industri muzik.
“Saya amat bersyukur atas semua tahun yang dipenuhi keseronokan, komuniti yang terlah terbina dan keajaiban yang berlaku sepanjang itu,” ujarnya mengingati betapa berharganya temboh 25 tahun yang telah dilalui sebagai anak seni.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!









