
“Tiada komenlah sayang. Kak Gee hanya menyanyi saja, sayang.”
Demikian jawapan ringkas diberikan penyanyi Ziana Zain susulan laporan media berhubung beberapa selebriti termasuk artis terkenal yang didakwa turut dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky, baru-baru ini.
Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain bagaimanapun memahami tugasan pihak media yang inginkan penjelasan berhubung perkara tersebut.
“Tak mengapa, saya faham,” katanya.
Pada Ahad, media melaporkan pihak SPRM akan memanggil beberapa selebriti yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.
Difahamkan selebriti yang menjadi duta dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit.
Siasatan terhadap selebriti berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Sejak tiga minggu lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram yang dipercayai didalangi syarikat perunding kewangan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI