“Nak Menegur Biarlah Berpada-Pada,”- Beri Reaksi Kematian Sulli, Ini Respon Azira Shafinaz

Sejak semalam, tular di laman media sosial mengenai kisah bintang korea, Sulli yang ditemui mati dipercayai kerana mencabut nyawa sendiri.

Para peminat turut menzahirkan kesedihan, termasuk golongan selebriti seperti pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz yang turut meluahkan rasa mengenai insiden tersebut.

Bintang berusia 28 tahun ini berkata masalah depresi merupakan satu masalah yang amat serius dan perlu dititikberatkan.

Azira atau nama sebenarnya, Azira Shafinaz Ramlan turut memberi nasihat kepada netizen agar tidak memberi komen yang kerterlaluan kepada selebriti.

IKLAN

“Okey…bagi saya, selalu fikir netizen berhak untuk berkata apa sahaja tapi saya cuma rasa cara mereka menyampaikan satu mesej atau ingin menegur tu, kalau boleh biarlah menerusi ‘private message’.

“Tak perlu nak post atau nak kecam dan ajak orang lain sekali untuk kecam sebab saya rasa itu boleh memberikan kesan terhadap orang itu pada masa hadapan.

“Sebab kita tak tahu orang itu sebenarnya okey ataupun tidak. Mungkin dekat luar dia senyum tapi sebenarnya dia ada masalah dalaman, sebagaimana yang dipercayai berlaku pada Sulii.

“Pada masa sama, kalau betul individu ataupun artis mana-mana yang rasa masalah begitu, ada masalah depresi sebagainya pergilah berjumpa dengan pihak yang boleh membantu.

“Jadi kalau boleh kepada netizen di luar sana kalau nak menegur tu biarlah berpada-pada,” kongsi Azira bersama MH.

IKLAN

Terdahulu, bekas anggota kumpulan f(x) itu ditemui mati di kediamannya pada Isnin. Mayat Sulli ditemui pengurus dalam kediaman mendiang di Seongnam, Korea.

Bagaimanapun punca sebenar bintang itu masih dalam siasatan terperinci pihak berkuasa.