Hos dan usahawan, Nabil Mahir,32, berhasrat untuk memiliki 13 orang cahaya mata apabila mendirikan rumah tangga bersama penyanyi, Ayda Jebat,28, yang dijadualkan berlangsung Jumaat depan.

Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad Mahir berkata angka tersebut nombor kegemarannya.

Bagaimanapun, pasangan selebriti ini menyerahkan semuanya kepada rezeki.

“Saya anak bongsu daripada dua orang adik-beradik, sementara Ayda pula ada ramai adik-beradik. Kalau boleh, saya mahu 13 orang anak.

“Mimpi jadi kenyataanlah kalau hasrat tersebut menjadi realiti.

IKLAN

“Tetapi sejujurnya, kalau dapat anak ramai macam mana pun, apa yang penting sihat sempurna.

“Tak kisahlah satu, dua atau 13 sekalipun. Kami tidak merancang,” katanya secara berseloroh.

Nabil mahu pun Ayda tidak menolak rezeki andai dikurniakan cahaya mata awal sejurus berkahwin.

IKLAN

“Saya tidak mempunyai masalah untuk menimang cahaya mata cepat atau lambat.

“Kalau sudah rezeki, saya bersedia untuk bergelar ibu. Lagipun, kami memang suka budak-budak,” jelas Ayda pula.

Sementara itu, majlis pernikahan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Januari ini bakal berlangsung secara sederhana di sebuah masjid di ibu negara.

IKLAN

“Dalam keadaan sekarang, saya tak bercadang untuk adakan majlis secara besar-besaran. Lebih baik bersederhana saja dan saya tak terkilan pun.

“Apa yang penting adalah perkara wajib iaitu majlis akad nikah dapat disempurnakan dengan baik. Kami hanya buat pernikahan di masjid yang hanya akan dihadiri kurang 50 tetamu.

“Doakan agar semuanya dipermudahkan, Insya-Allah” katanya ketika majlis pra tonton muzik video terbaru Ayda, Parah Parah di Publika, sebentar tadi.

Terdahulu pasangan selebriti ini mengikat tali pertunangan pada 28 April lalu menerusi aplikasi Google Meet bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI