Lama menyimpan hasrat untuk tampil dengan sebuah lagu raya sendiri, penyanyi serta selebriti usahawan, Cheta Pot Pet, 36, akhirnya tampil dengan buah tangan baharu  berjudul Cayang-Cayang Raya.

Menurut Cheta atau nama sebenarnya, Rozita Baharom, lagu raya tersebut juga memberikan memori yang indah apabila ia turut menampilkan tiga sahabat penyanyinya iaitu Watie Sadali, Ayu Damit dan Yasin Senario.

“Idea untuk keluarkan lagu ini dan memilih ketiga-ketiga mereka kerana kami kebelakangan ini kerap membuat persembahan pentas yang sama, terutamanya tiap kali acara karnival beli-belah terbesar, Starvendors dianjurkan.

“Jadi saya terfikir, mengapa tidak keluarkan lagu raya yang tentunya sinonim juga dengan acara tersebut yang biasanya menjadi tumpuan ramai pengunjung menjelang Aidilfitri. Hasilkan lagu sendiri, rakam dengan sahabat-sahabat artis ini, baru puas hati,”katanya.

Berkongsi lanjut mengenai penghasilan karya berkenaan, kata Cheta pada awalnya dia cuma bergurau untuk hasilkan lagu namun tidak menyangka idea tersebut benar-benar dapat direalisasikan.

“Mulanya cuma main-main saja. Lepas keluar dan banyak berjumpa dan bersembang dengan ketiga-tiga mereka ini, saya rasa baik teruskan hasrat tersebut.

“Iyalah, mana tahu ada rezeki lagu ini dapat sambutan di kalangan pendengar. Lagipun, baik Watie, Ayu dan Yasin, ketiga-tiga mereka sangat ‘sporting’ dan beri kerjasama baik untuk kolaborasi ini,” katanya.

Selain itu, tambah Cheta lagi, lagu yang liriknya diciptakan sendiri bersama komposer Amy Ukay’s itu sengaja dilancarkan pada tanggal 20 April ini.

Meskipun sedar ada yang beranggapan dia terlalu tergopoh-gopoh menghasilkan lagu raya, namun bagi Cheta, apa yang paling utama adalah dia dan tiga rakannya ini dapat menghiburkan halwa telinga pendengar dan peminat terutama mereka yang suka dengan irama lagu lama.

“Tak dinafikan memang agak kelam kabut sedikit nak keluarkan lagu ini. Bukan sebab nak berlumba-lumba dengan artis lain untuk keluarkan lagu. Tapi kita nak orang dapat dengar lagu-lagu raya yang bernostalgia lama.

“Saya suka bila pendengar rasa terhibur dan dapat menyanyi sama dengan lagu raya ini. Itu juga adalah tujuan asal mengapa saya minta juga Amy Ukay’s untuk hasilkan irama lagu lama.

“Sekarang dah zaman moden, irama lagu kuga semakin moden. Adakal kita sebagai pendengar pun merindui lagu-lagu berentak lama begini yang membangkitkan ‘mood’ nak beraya dan balik kampung itu,”katanya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai pembikinan video muzik lagu Cayang-Cayang Raya, kata Cheta, penghasilannya secara keseluruhan mengambil masa selama dua hari.

“Kami siapkan semuanya dalam tempoh dua hari dengan pembikinan dijalankan di kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Alhamdulillah, artis semua bagi kerjasama.

“Kami juga dapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak dalam menjayakan video muzik ini. Macam saya kata, walaupun keadaan sedikit kelam-kabut, tapi semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI