Selepas lebih dua tahun tidak muncul menerusi mana-mana naskhah filem, pelakon jelita, Nur Fazura Sharifuddin optimis mengharapkan filem terbaru lakonannya, Dendam Pontianak mendapat reaksi positif penonton apabila ditayangkan kelak.

Bakal ditayangkan 12 September depan, penerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 itu membawa watak sebagai puntianak bernama Mina.

Bintang yang juga permaisuri hati kepada pelakon Fattah Amin ini menjelaskan kepada MH, watak puntianak dijayakan bukanlah tipikal sebagaimana ‘entiti’ puntianak yang sering dipertontonkan sebelum ini.

Sebaliknya, filem arahan Glen Goei dan Gavin Yap itu adalah sesuatu yang lebih segar.

“Saya tertarik dengan jalan ceritanya kerana secara tidak langsung ia menampilkan watak seorang wanita yang kuat.

“Malah ketika Glen sendiri menawarkan watak yang manakah saya mahu ambil, sama ada isteri kepada Remy Ishak atau puntianak, saya pilih puntianak kerana saya mahu tahu apa yang dia rasa dan lalui sebelum dan selepasnya,” katanya jujur.

Kongsinya lagi, elemen seorang wanita yang kuat itu sendiri mendorongnya untuk membawa watak Mina sebaiknya.

“Tidak sukar membawakan watak ini kerana filem lakonan saya sebelum ini juga lebih terarah kepada peranan wanita yang kuat.

“Tidak banyak filem yang mengetengahkan kisah wanita kuat seperti ini. Mina bukan hanya puntianak tetapi dia seorang wanita kuat dan berusaha mendapatkan semula haknya apabila janji tidak ditepati,” kata Fazura lagi.

Bahkan, jelas Fazura, dunia semasa sudah berubah dan jangan takut untuk ketengahkan wanita sebagai hero.

“Tidak salah untuk angkat golongan ini sebagai hero dan seperti filem Dendam Pontianak juga adalah kisah wanita bernama Mina dan dia adalah penggerak cerita ini dan Remy sudah tentunya hero,” maklum Fazura.

Sementara itu Fazura turut memberi reaksi selepas ditanya media jika ada yang membandingkan antara watak Mina yang dibawanya dengan watak Puntianak bernama Meriam yang dijayakan Maya Karin menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam.

“Saya rasa watak Puntianak yang dilakonkan Maya Karin ada kelebihannya yang tersendiri. Malah saya sendiri merupakan peminat kepada filem Pontianak Harum Sundal Malam. Saya tontonnya bersama rakan-rakan, masih ingat lagi.

“Jadi saya rasa filem tersebut ada kelebihan dan keistimewaannya sendiri. Akan tetapi, apa yang saya boleh katakan menerusi Puntianak dalam versi Mina ini, seperti yang saya beritahu tadi, ia bukan sebagaimana tipikal Puntianak yang pernah dilihat sebelum ini.

“Ia berbeza dan penonton akan dapat melihat kekuatan yang ada dalam diri seorang wanita itu dalam menuntut keadilan apa yang sepatutnya menjadi miliknya,” simpul Fazura yang turut kagumi pelakon Munafik 2 itu.

Selain Fazura dan Remy Ishak, Dendam Pontianak turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Hisyam Hamid, Shenty Feliziana, Nadia Aqilah, Namron, Wan Hanafi Su dan Nadiah M Din. Tidak hanya di Malaysia, filem ini bakal ditayangkan terlebih dulu di Singapura bermula 29 Ogos ini.

Foto: Instagram Fazura, Maya Karin