“Kita akan dapat berita gembira lagi beberapa minggu dan akan dapat bersama dengannya.”

Demikian kata anggota kumpulan Senario, Azlee Jaafar, ketika ditanya mengenai ‘kehilangan’ rakan seperjuangannya, Yassin Yahya, dari radar industri hiburan sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Azlee, sahabatnya yang dianggap seperti adik bongsu dalam Senario itu berada dalam keadaan baik, berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada isteri Yassin.

Mendoakan Yang Terbaik

“Saya percaya semua orang pun sudah tahu dia ada di mana. Bagi saya, di mana pun dia berada, doakan yang baik-baik untuk dia,” katanya.

Azlee berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Bazaar Raya Shah Alam x Azlee Senario di Kelab Shah Alam, pada Selasa.

Ads

Azlee turut berkongsi rasa ‘cemburu’ dengan Yassin yang berpeluang menjalani ibadah puasa di tempat yang lebih baik sepanjang Ramadan ini.

“Sebenarnya saya pun sedih sebab kita puasa di sini, tapi dia dapat buka puasa ‘di sana’, betapa untungnya. Itu adalah satu rahmat yang Allah bagi.

“Yassin sebenarnya mahu menambah ilmu. Kita perlu menambah ilmu-ilmu, jadi dia sedang menuntut dan mungkin selepas ini dia akan mengajar kita pula,” katanya lagi.

Ads

Meski tidak mahu mengulas lanjut mengenai keberadaan Yassin buat masa ini, Azlee bagaimanapun memberi bayangan sahabatnya itu sedang berada dalam fasa ‘menimba ilmu’ dan mungkin akan berkongsi pengetahuannya di masa hadapan.

Konsert Senario Oktober Ini

Dalam perkembangan lain, Azlee berharap agar semua anggota Senario, termasuk Yassin, dapat bersama menjayakan konsert berskala besar di Stadium Merdeka yang dijadualkan pada Oktober tahun ini.

“Kita sebenarnya ada konsert besar Senario pada bulan Oktober ini di Stadium Merdeka dengan sasaran pengunjung 40,000 orang.

Ads

“Ini giliran Senario pula untuk masuk ke sana, jadi kami memang mengharapkan semua anggota ada,” katanya.

Terdahulu, ketiadaan Yassin dalam kumpulan Senario menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat dan susulan itu, pelbagai spekulasi mula tersebar sejak Oktober tahun lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI