
Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida tampil menjelaskan riak wajah terkejut yang ditunjukkannya ketika namanya dan anaknya Cik B diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga pada Grand Finale Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), malam tadi.
Menurut Vida, walaupun dia meletakkan sasaran tinggi untuk bergelar juara, namun reaksi tersebut bukanlah kerana mahu mempersoalkan keputusan juri.
Sebaliknya, dia hanya ingin mengetahui aspek mana yang boleh diperbaiki agar persembahan Cik B menjadi lebih baik pada masa hadapan.
“Dapat tengok muka saya terkejut? Saya sebenarnya menunggu untuk diumumkan menjadi nombor satu. Maaflah, ekspektasi saya memang tinggi.
“Saya hanya mahu tahu kenapa kami tidak dapat nombor satu? Saya nak tahu apa yang boleh diperbaiki lagi. Anggrek memang layak menjadi juara.
“Malah, Cik B juga mahu memberi laluan kepada Anggrek untuk memang. Dapat nombor berapa pun, kita tetap satu keluarga.
“Dapat menjadi tiga terbaik pun sudah cukup bagus. Yang penting penonton di dewan dan studio puas hati,” katanya kepada MH.
Vida berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Grand Finale TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada Ahad.
Dalam pada itu, Vida berbangga dengan usaha dan komitmen yang ditunjukkan Cik B sepanjang menyertai program TTMM2.
“Sejak awal persembahan lagi, saya sudah katakan, ini adalah malam Cik B. Saya yakin persembahan Cik B akan terus terpahat di hati peminat.
“Ketika nak masuk program ini dahulu, Cik B pernah cakap, dia nak banggakan saya. Ketika ini, saya sangat bangga dengan Cik B. Persembahannya sentiasa di luar kotak.
“Kalau tak masuk program ini, kita tak akan tahu bakat dan skil Cik B,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Cik B turut teruja apabila berjaya melangkah ke pentas grand finale dan pada masa sama dapat mengikut jejak langkah sahabat karibnya, Auddra yang turut meraih tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.
“Saya puas hati dengan persembahan saya. Saya sudah anggap diri saya sebagai juara di hati semua penyokong saya. Saya tak kisah kisah dapat nombor tiga. Malah, saya sangat bangga.
“Saya memang nak ikut jejak langkah idola saya iaitu Auddra yang turut mendapat tempat ketiga. Juara memang seharusnya diberikan kepada mereka yang layak.
“Anggrek memang sepatutnya memang. Dia baru berusia sembilan tahun dan saya sendiri nampak usahanya setiap hari. Dia sangat berdisiplin,” kongsinya.
Dalam masa sama, Cik B turut juga sedih dan berat hati untuk meninggalkan program TTMM2 selepas banyak mencipta kenangan manis bersama peserta lain sepanjang 10 minggu pertandingan berlangsung.
“Walaupun bangga dapat masuk ke final namun, saya sedih kerana hari ini mungkin hari terakhir kami semua dapat bersama. Saya tak kisah dapat nombor berapa pun.
“Bila difikirkan semula, esok saya sudah tidak boleh nak berjumpa mereka. Jika tidak, kita akan ada meeting, kelas vokal dan kelas menari bersama.
“Ia membuatkan saya termenung juga. Saya sudah 10 minggu bersama mereka. Saya sudah rasa terikat dengan Anggrek. Saya anggap dia seperti adik sendiri,” akhirinya.
Terdahulu, Cik B dan Vida diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dan pasangan itu berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000, peruntukan pengurusan dan pemasaran tajaan Rocketfuel Entertainment serta peluang menghasilkan sebuah single baharu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini