Hiburan

Marsha Milan Berdepan Ujian Kesihatan Dua Minggu Sebelum AJL40 – “Saya Sudah Jumpa Tiga Pakar.”

Share

Penyanyi, Marsha Milan mendedahkan dirinya kini sedang berdepan ujian kesihatan pada waktu yang cukup kritikal, iaitu kira-kira dua minggu sebelum berlangsungnya pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).

Menurut Marsha, bukan sahaja dia yang terkesan, sebaliknya hampir keseluruhan pasukannya yang terlibat bagi persiapan menjelang AJL40 turut mengalami masalah kesihatan yang sama.

“Saya sudah mula sakit macam ini sejak dua minggu yang lalu. Ketika itu, saya tidak tahu nak rasa apa dan perasaan bercampur-baur. Hampir semua pasukan saya untuk AJL40 ini kecundang.

“Saya dapat merasakan, situasi ini mula terjadi ketika saya mengadakan proses rakaman di Jakarta. Namun, saya pun kurang pasti apa puncanya.

“Kenapalah hal seperti ni selalu terjadi bila setiap kali saya nak bertanding di AJL? Saya tahu tempoh untuk sembuh boleh ambil masa yang agak lama,” katanya kepada MH.

Marsha berkata demikian ketika ditemui pada acara Meet & Greet Finalis AJL40 yang berlangsung di Pasar Seni, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Anggap Ujian Sebagai Ruang Untuk Tawakal

Bagaimanapun, penyanyi lagu Cinta itu tetap bersyukur apabila ujian tersebut berlaku lebih awal dan bukannya ketika hampir atau pada hari berlangsungnya AJL40.

Tambah Marsha, pengalaman melalui fasa seperti ini mengajarnya untuk lebih bertawakal dan menerima segala ketentuan dengan hati yang terbuka.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana hal ini terjadi lebih awal. Bukan pada hari kejadian ataupun seminggu sebelum AJL.

“Tetapi saya belajar untuk tawakal dan reda. Apa nak jadi, jadilah sebab saya sudah jumpa tiga pakar,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kemungkinan wujud faktor lain di sebalik penyakit yang dialaminya, Marsha menolak sebarang andaian berunsur mistik dan percaya ia lebih berkait dengan jangkitan virus yang sedang menular ketika ini.

Tambahnya, dia turut mengalami beberapa simptom lain seperti cirit-birit, muntah, migrain, demam, batuk dan selsema.

“Saya tak percaya sangat benda-benda macam ni dan memang cuba elak benda yang boleh rosakkan minda.

“Apa yang pasti memang sekarang wabak seperti infleuenza, virus tengah tular kan?

“Jadi saya pasti itu mungkin boleh jadi puncanya kalau dari segi saintifik. Doktor pun masih dalam peoses untuk kenal pasti,” akhirinya.

Marsha antara finalis AJL40, mempertaruhkan lagu ciptaannnya dan lirik oleh Hazama berjudul Tangisan Pendosa, yang bakal berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 15 Ogos depan.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza