Berita

Libang Libu Penawar Duka Di Kala Krisis & Huru Hara! Komedi ‘Gila-Gila’ 29 Pelakon Gred A Bakal Buat Penonton Balik Tersenyum

Share

Ketika industri filem tempatan lebih cenderung menghasilkan karya bergenre aksi dan seram yang dianggap lebih menguntungkan, pengarah Bobby Husaini tampil dengan pendekatan berbeza.

Beliau mempertaruhkan filem komedi-drama berjudul Libang Libu pada permulaan suku kedua tahun 2026.

Sebelum ini, beliau dikenali menerusi filem pendek dan iklan raya yang ‘impactful’, Bobby kini mengembangkan lagi potensinya dengan menghasilkan naskhah yang menggabungkan elemen drama, komedi dan realiti kehidupan dalam penceritaan yang dekat dengan masyarakat.

Berlatarbelakangkan suasana kampung di Lambor Kanan, Perak, Libang Libu mengisahkan kehidupan dua beradik, Along Alid (Beto Kushairy) dan Man Filem (Amerul Affendi).

Kisah mereka bermula dengan konflik keluarga sebelum berkembang menjadi keadaan huru-hara yang turut melibatkan penduduk kampung.

Filem ini bukan sekadar hiburan ringan, sebaliknya sarat dengan mesej tersirat mengenai hubungan manusia, nilai persahabatan dan cabaran hidup yang sering dipandang remeh.

Judulnya sendiri mencerminkan perjalanan cerita yang ‘bercelaru’ tetapi penuh makna, selari dengan gaya naratif yang tidak klise.

Menurut Bobby, Libang Libu membawa makna yang lebih besar daripada sekadar hiburan.

“Dengan pendekatan yang santai dan penuh drama, Libang Libu membawa kembali jenis hiburan yang sudah lama dirindui oleh penonton Malaysia.

“Hiburan yang mengajak mereka datang untuk ketawa. Selesai menonton, penonton boleh pulang dengan rasa ‘feel good’,” katanya.

Dari sudut pengarahan, visual dan plot yang dipersembahkan tidak terlalu berat, namun cukup menyokong kekuatan penceritaan.

“Dalam gelak tawa itu, ada sindiran halus tentang realiti sosial kita. Kami tidak mahu mengajar secara langsung, tetapi mahu penonton merasai sendiri dinamika hubungan antara watak-watak ini,” katanya lagi.

Kekuatan utama filem ini terletak pada skrip yang bijak bermain dengan dialog harian, khususnya dalam dialek Perak.

Bahasa yang digunakan ringkas, tetapi tajam dengan sindiran sosial, satu elemen yang jarang dimanfaatkan dengan baik dalam filem tempatan.

Gabungan 29 Pelakon & ‘Penawar Duka’ Penonton

Menariknya juga, Libang Libu berjaya menghimpunkan 29 pelakon yang rata-ratanya mempunyai reputasi besar dalam industri seni tanah air.

Filem ini menjadi platform untuk melihat barisan pelakon seperti Beto Kushairy, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati dan Sabri Yunus berkongsi layar yang sama.

Menurut Beto, dia teruja dapat bekerjasama dengan barisan pelakon hebat yang saling menyokong demi menjayakan karya tersebut.

“Cabaran utama berlakon filem ini adalah untuk melayan karenah orang-orang gila. Semua yang berlakon punyai kepala gila tapi suasananya sangat seronok.

“Apabila kita bekerja dengan kawan-kawan yang kita suka dan pelakon yang serius dengan karya mereka, masing-masing akan cuba memberikan input untuk jadikan filem ini terbaik.

“Ia satu pengalaman yang menarik. Kami tidak berdepan masalah dari segi keserasian. Masing-masing faham dengan peranan sendiri. Kami seronok dapat terlibat di dalam filem ini,” katanya.

Libang Libu juga hadir pada waktu yang tepat, ketika dunia dipenuhi pelbagai krisis dan ketidaktentuan.

Naskhah ini secara tidak langsung menjadi ‘penawar duka’, memberi ruang kepada penonton untuk melupakan tekanan seketika, sambil mengingatkan bahawa dalam kekalutan hidup masih ada sisi ringan dan harapan.

Terdahulu, Libang Libu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 23 April ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Kredit Foto: Instagram Libang Libu

Published by
Aizam Manaf