Kronologi Perjalanan Anak Syurga, Baby Nishka. Damailah Di Sana…

Share

Kehadirannya umpama embun pagi, hanya singgah sebentar menyinari dunia sebelum pergi buat selama-lamanya.

Kisah adik Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham atau lebih mesra di sapa Baby Nishka cukup dekat di hati.

Si comel ini disahkan mengidap kanser otak (Medullablastoma) tahap 4 dan ketumbuhan di buah pinggang seawal usia 21 hari.

Lebih memilukan, baby Nishka juga turut mempunyai masalah penglihatan dan terpaksa meminum susu melalui tiub.

Kisahnya mula tular selepas beberapa selebriti terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Mawar Karim berkongsi penderitaan yang ditanggung di laman sosial dan memohon agar rakyat Malaysia sama-sama membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga ini.

Baby Nishka merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik. Ibunya, Khairiah Kamarudin atau Kheriy merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar, Pulai Chondong, Machang.

Menurut Kheriy, dia tidak menyangka anak bongsunya mengidap penyakit kronik memandangkan dia tidak mempunyai sebarang masalah ketika mengandung sehingga proses melahirkan anak secara normal di HUSM.

Proses pembesaran yang tidak normal disedari sewaktu jururawat datang ke rumah untuk sesi lawatan selepas bersalin. Ukuran kepala sewaktu lahir 34 sentimeter menjadi 38 sentimeter hanya dalam masa 20 hari. Baby Nishka dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainah (HRPZ) Kota Bahru dan kemudian ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk ujian MRI.

Telah menjalani empat pembedahan termasuk pembedahan membuang tumor di kepala. Walau bagaimanapun, hanya 30 peratus tumor berjaya dikeluarkan. Baby Nishka kritikal selepas pembedahan akibat pendarahan dan terpaksa menggunakan oksigen selama sebulan.

Baby Nishka tidak boleh melihat dan bersuara selepas menjalani pembedahan.

Walaupun telah melakukan dua kitaran kemoterapi, namun menurut ibunya, saiz tumor terus membesar.

Pada 11 September, Baby Nishka diintubated apabila mengalami (APNOEA) atau berhenti bernafas sewaktu tidur, lapan kali dalam tempoh satu jam.

Enam hari sebelum meninggal, Baby Nishka diletakkan dalam Zon Paliatif yang bermaksud tiada rawatan atau ubat untuk tujuan penyembuhan. Rawatan kemoterapi yang diberikan tidak memberi sebarang reaksi ke atas kanser dan ia semakin berkembang. Baby Nishka juga tidak dapat bernafas sendiri dan bergantung sepenuhnya dengan bantuan mesin ventilator.

Keadaan Nishka semakin tenat pada 1 Oktober 2019 apabila ketumbuhan di kepalanya membesar daripada 41 sentimeter kepada 44 sentimeter.

Menerusi Instagram usahwan Mawar Karim, anak syurga ini dikhabarkan telah meninggal dunia pada 2 Oktober 2019. Nishka menghembuskan nafas terakhir 4.30 petang di Unit Dependensi Tinggi (HDU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Marak, Bachok.

IKLAN