Konsisten, ‘Luar Kotak’ Setiap Minggu, UBI Juara Muzikal Lawak Superstar 3

Setelah mempamerkan persembahan konsisten hampir setiap minggu, kumpulan UBI bagai menepati ramalan selepas dinobatkan selaku juara baharu program, Muzikal Lawak Superstar 3 (MLS3)

Kumpulan yang dianggotai oleh pelawak Fad, Sharif dan personaliti media sosial, Namie itu berjaya mengetepikan cabaran daripada tiga kumpulan lain sekali gus membawa pulang hadiah utama berjumlah RM150,000 beserta trofi.

Pada pusingan akhir ini, kumpulan UBI turut memperoleh lima bintang untuk kedua-dua tema persembahan dan standing ovation daripada Datuk Awie.

Sementara itu, kumpulan Cili telah muncul selaku naib juara seterusnya meraih hadiah wang tunai RM75,000 dan trofi.

IKLAN

Salah seorang anggota kumpulan Cili yang juga merupakan penyanyi, Shiha Zikir turut dinobatkan selalu Superstar Paling Gempak MLS3.

Tempat ketiga yang menawarkan hadiah sebanyak RM50,000 serta trofi pula telah berjaya dimenangi oleh kumpulan Bahroy.

Manakala, kumpulan OOD yang dianggotai Man, Chiwan dan Zahid terpaksa berpuas hati untuk meraih tempat ke-4 seterusnya membawa pulang hadiah berjumlah RM25,000 dan trofi.

Pentas minggu terakhir MLS3 telah berlansung secara gilang gemilang di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Pada malam ini, kesemua peserta membuat persembahan sebanyak dua pusingan yang bertemakan ‘Benua Di Dalam Dunia’ dan ‘Bebas’.

IKLAN

Semua finalis MLS3 diadili 75 peratus juri tetap iaitu Datuk Awie, Siti Saleha dan Najip Ali, manakala 25% lagi adalah daripada undian penonton.

Pentas akhir yang dihoskan Sharnaaz Ahmad dan Elly Mazlein itu juga turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan daripada artis jemputan, Khir Rahmah dan Luqman Hafiz.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.