
Dunia muzik kehilangan seorang maestro apabila komposer lagenda Lalo Schifrin dilaporkan meninggal dunia pada usia 93 tahun, semalam.
Pemergian tokoh muzik prolifik kelahiran Argentina itu disahkan oleh anaknya, Ryan Schifrin kepada beberapa media hiburan terkemuka di Amerika Syarikat.
Nama Lalo Schifrin bukan asing dalam industri perfileman Hollywood. Beliau merupakan individu di sebalik ciptaan lagu tema ikonik siri televisyen Mission: Impossible era 1960-an, yang kemudiannya menjadi nadi utama francais filem global lakonan Tom Cruise.
Schifrin turut mencipta skor latar bagi sejumlah besar filem popular, antaranya The Cincinnati Kid, Bullitt, Cool Hand Luke, dan Dirty Harry, menjadikan beliau antara komposer yang paling berpengaruh dalam sejarah industri hiburan Amerika.
Dilahirkan pada 21 Jun 1932 di Buenos Aires, Argentina, Schifrin dibesarkan dalam keluarga seni. Bapanya, Luis Schifrin pernah berkhidmat sebagai konsertmaster Orkestra Filharmonik Buenos Aires selama dua dekad setengah.
Kecintaan terhadap muzik bermula sejak kecil apabila beliau mempelajari piano dan mendalami muzik klasik. Bagaimanapun, pengaruh jazz dari ikon-ikon seperti Charlie Parker dan Louis Armstrong di usia remaja membuka lembaran baharu dalam hala tuju kerjayanya.
Selepas menamatkan pengajian di Paris, Schifrin kembali ke tanah air dan menubuhkan kumpulan jazz sendiri. Persembahannya menarik perhatian legenda trompet jazz, Dizzy Gillespie, sekali gus membuka peluang ke pentas antarabangsa.
Beliau menerima beberapa pencalonan Oscar menerusi karya filemnya, dan pada 2018, Schifrin dianugerahkan Oscar Kehormat atas sumbangan luar biasanya dalam bidang muzik, yang disampaikan oleh pelakon ternama Clint Eastwood.
Sepanjang hayatnya, Schifrin turut dikenali sebagai pianis jazz serta konduktor orkestra yang disegani ramai, dengan gaya persembahan yang sofistikated serta penuh karakter.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




